Jiwa kental walaupun pekak, bisu [METROTV]

KEKURANGAN diri bukan halangan untuk orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu, Mohamad Arif Idris terus bekerja mencari rezeki halal.

Malah, Mohamad Arif, 31, gigih mencari rezeki dengan berniaga aiskrim pulut dijual dengan harga RM3 secawan di tapak niaga di Persiaran Cakerawala, Subang Bestari, Subang Jaya,

Kakaknya, Saedah Nafisah, 35, berkata, perniagaan itu baru bermula pada minggu lalu dan itu ideanya untuk membantu Mohamad Arif yang diberhentikan kerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, Mohamad Arif yang mengalami masalah pendengaran dan bisu sejak lahir berniaga bermula 12.30 tengah hari sehingga 3.30 petang setiap hari.

“Sebelum ini, dia bekerja sebagai kelindan lori dan masih masih bekerja ketika awal PKP dilaksanakan, tetapi kemudian diberhentikan selepas syarikat mengambil langkah mengurangkan pekerja.

“Berikutan kekurangan dirinya, agak susah untuk dia mendapat pekerjaan buat masa ini, jadi saya bantu memberinya jalan untuk menjalankan perniagaan itu,” katanya.

Menceritakan rutin harian adiknya itu, Saedah berkata, Mohamad Arif keluar rumah dari Kota Damansara pada 11 pagi iaitu hampir dua jam lebih awal untuk menyusun peralatan di tapak niaga berkenaan.

Katanya, buat masa ini, Mohamad Arif tidak berseorangan sebaliknya dia turut sama membantu pada waktu makan tengah hari bersama adik bongsunya, Mohamad Amir, 20.

Mohamad Arif menyiapkan aiskrim pulut di gerainya di Subang Bestari, Subang Jaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohamad Arif menyiapkan aiskrim pulut di gerainya di Subang Bestari, Subang Jaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

“Meskipun mempunyai komitmen kerja hakiki sebagai penolong pegawai penyelidik, saya memperuntukkan masa membantunya kerana perniagaan masih di peringkat awal dan enggan membiarkan Mohamad Arif sendiri ketika berurusan dengan pelanggan.

“Walaupun fizikalnya nampak normal, dia adalah OKU dan bagi mengelakkan salah faham, saya cetak kertas lengkap dengan harga serta simbol nombor, sekali gus pelanggan hanya perlu menggunakan isyarat jari sewaktu membuat pesanan.

“Pada kertas dicetak itu, tertera perkataan meminta bantuan pelanggan untuk membantu Mohamad Arif dalam urusan pemulangan baki.

“Nampak dia kekok pada mulanya kerana tidak biasa, tetapi kelebihannya adalah cepat belajar dan pandai menghargai pelanggan serta mengucapkan terima kasih walaupun dengan bahasa isyarat,” katanya.

Biarpun baru seminggu, Saedah bersyukur kerana ramai yang memberi sokongan terhadap perniagaan adiknya itu.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia hanya menghebahkan perniagaan itu kepada komuniti Subang Bestari saja.

“Tak sangka pula, orang dari jauh pun datang membeli dan saya lihat rakyat Malaysia memang prihatin.

“Diharap, sokongan orang ramai berterusan dan biarpun tidak banyak, sekurang-kurangnya dia ada pendapatan serta tidak duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa,” katanya.