JKDM rampas 21.7 juta batang rokok seludup [METROTV]

SEBANYAK 21.7 juta batang rokok seludup berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 18 Mac hingga 13 April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Johari Alifiah berkata, statistik rokok yang dirampas itu membabitkan 16 kes bernilai RM1.7 juta tidak termasuk cukai dilarikan iaitu sebanyak RM14.5 juta.

“Walaupun sewaktu negara melaksanakan PKP, aktiviti penguatkuasaan oleh JKDM terus giat dilakukan.

“Bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu, kami laksanakan 1,088 operasi di seluruh negara membabitkan aktiviti penguatkuasaan iaitu rondaan darat, air, pemeriksaan kapal, kenderaan, pemeriksaan rapi, sekatan jalan raya dan serbuan di lokasi panas,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, rondaan darat yang dilakukan membabitkan 453 operasi, rondaan air (253), pemeriksaan kapal (137), pemeriksaan kenderaan (104), pemeriksaan rapi (85), sekatan jalan raya (15) dan sejumlah 41 serbuan.

Menurutnya, lebih 14,000 pegawai dan anggota di seluruh negara masih melaksanakan tugas diamanahkan walaupun dalam keadaan kekuatan yang minimum sebagaimana disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi aktiviti penguatkuasaan pula, lebih 1,000 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan seluruh negara sentiasa siap siaga dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan negara sentiasa makmur serta sejahtera.

“Mengenai penjualan rokok seludup secara dalam talian, perkara ini bukan perkara baharu bagi JKDM. Ia dikesan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan membabitkan golongan online trader untuk mengambil kesempatan untung mudah.

“Namun, sejak pelaksanaan PKP, urusniaga rokok seludup dalam talian semakin menjadi-jadi akibat daripada aktiviti pengedaran konvensional terhad terutamanya rokok bukanlah termasuk (dalam senarai) barangan keperluan,” katanya.

JOHARI Alifiah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
JOHARI Alifiah. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Johari berkata, atas sebab rokok tidak termasuk dalam senarai barangan keperluan dan pergerakan termasuk edarannya dilarang ketika tempoh PKP sedang dikuatkuasakan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga meminta perokok tegar gunakan masa dan peluang ini supaya berhenti merokok.

Namun, katanya, untuk membanteras aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian membabitkan premis maya tidak semudah menangani masalah penyimpanan dan barangan salah di premis fizikal.

“JKDM tidak bersendirian dalam membanteras kegiatan penyeludupan melalui dalam talian ini.

“Malah kami sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani penyeludupan menggunakan modus operandi platform online,” katanya.

Menerusi siasatan Cawangan Risikan JKDM, katanya, kebanyakan entiti perniagaan itu menggunakan laman sesawang yang berpangkalan di luar negara.

Menurutnya, bagi transaksi melalui saluran media sosial seperti Instagram, WhatsApp, Facebook dan WeChat mendapati pelaku menggunakan nombor telefon yang tidak didaftarkan secara sah.

PEGAWAI penguat kuasa JKDM menjalankan pemeriksaan terhadap penghantar bermotosikal ketika operasi agensi itu di seluruh negara sewaktu PKP. FOTO Ihsan JKDM
PEGAWAI penguat kuasa JKDM menjalankan pemeriksaan terhadap penghantar bermotosikal ketika operasi agensi itu di seluruh negara sewaktu PKP. FOTO Ihsan JKDM

“Secara keseluruhan hasil kajian mendapati pengguna semakin sukar mendapatkan bekalan rokok seludup.

“Indikator jelas bagi menyokong fakta ini ialah harga rokok seludup kini mencecah hingga RM10 sepaket berbanding antara RM3.50 hingga RM6 sepaket sebelum ini.

“Beberapa siri Arahan Berjaga-Jaga berkaitan rangkaian sindiket penyeludupan rokok serta modus operandi mereka sudah diedarkan ke seluruh negara sebagai panduan Bahagian Penguatkuasaan Negeri dalam mengesan aktiviti salah ini,” katanya.

Laporan khas menerusi portal MyMetro, 3 April lalu menyiarkan penyeludup rokok dikesan mengambil kesempatan dan semakin berleluasa memasarkan rokok murah mereka dalam laman sesawang pemasaran terkenal sepanjang PKP dilaksanakan dan membuat hantaran terus ke pintu rumah pelanggan sebaik membuat tempahan termasuk bayaran.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan