JKDM rampas dadah RM5.2 bilion [METROTV]

Nilai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket kartel pengedaran dadah antarabangsa terbesar membabitkan pil captagon dianggarkan RM5.2 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sindiket terbabit memasukkan dadah berkenaan dalam roda troli bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, sepasukan anggota JKDM daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita tiga kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang pada 4 petang 15 Mac lalu.

“Hasil pembongkaran menjumpai anggaran 94.8 juta biji pil captagon disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine dengan berat kasar 16 tan dianggarkan bernilai RM5.2 bilion yang disorokkan di dalam roda troli.

“Hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba dari negara Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara lain di Timur Tengah.

“Kotak dirampas mengandungi dadah berkenaan didapati diisytiharkan sebagai roda troli (castor),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM Kampung Jijan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan dan Operasi) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad.

Rampasan pil Captagon yang disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Jijan Tengah. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Rampasan pil Captagon yang disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Jijan Tengah. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit sebelum dibawa ke negara ketiga.

Menurutnya, rampasan 16 tan pil captagon berkenaan adalah rampasan dadah terbesar pernah direkodkan JKDM setakat ini.

“Kejayaan rampasan dadah terbesar ini hasil kerjasama Direktoral Jeneral Pengawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latif berkata, sepanjang 2018, JKDM merampas sebanyak 3.35 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM160 juta, manakala bagi 2019, pihaknya merampas sebanyak 4.75 tan dadah bernilai RM790 juta.

Beliau berkata, pada tahun lalu, JKDM merampas 2.86 tan dadah bernilai RM117 juta.

“Orang ramai diminta membantu jabatan ini dalam memerangi jenayah penyeludupan membabitkan dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan.

“Kegiatan penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.