Juara derma darah di Johor

“SEKIRANYA dibenarkan, saya mahu derma darah sehingga ke umur 70 tahun. Jika sebaliknya, saya akan pencen menderma darah,” kata ejen hartanah, Abdul Kader Mohamed, 59, yang menderma darah 144 kali sejak berusia 24 tahun.

Pemilik darah jenis O ini berkata, sejak menjadi penderma, dia tidak pernah terlepas melakukannya setiap tiga bulan.

Malah, bapa empat anak ini memegang rekod penderma darah terbanyak di Johor melalui catatan 144 kali.

“Saya biasa derma darah, kalau tidak buat, rasa macam berhutang,” katanya yang berasal dari Kluang.

Menurutnya, tahun depan dia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan jika mahu terus menderma darah.

“Doktor maklumkan, saya perlu diperiksa jika mahu terus menderma darah pada usia berkenaan.

“Saya pasti buat dan tidak mahu berhenti selagi ada peluang,” katanya.

Menurutnya, biarpun berusia, berkat aktiviti menderma darah, dia tidak menghidapi penyakit kronik.

BUKU catatan yang merekodkan Abdul Kader sebagai individu paling banyak menderma darah di Johor. FOTO Omar Ahmad
BUKU catatan yang merekodkan Abdul Kader sebagai individu paling banyak menderma darah di Johor. FOTO Omar Ahmad

“Alhamdulillah, setakat ini saya sihat. Mungkin berkat menderma darah yang saya amalkan sejak 36 tahun lalu.

“Sebenarnya, kesan menderma darah tubuh rasa lebih sihat dan segar,” katanya.

Menurut Abdul Kader, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila tiba masa menderma darah, dia pergi ke Pusat Pendermaan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menceritakan kali pertama menderma, Abdul Kader berkata, semuanya bermula daripada iklan di televisyen dan surat khabar yang banyak memaparkan kepentingan pendermaan darah.

“Ketika itu, saya derma darah lima kali setahun. Darah saya juga pernah digunakan untuk pesakit leukimia serta mangsa kebakaran.

“Saya harap generasi muda menyambung usaha ini kerana banyak manfaatnya kepada diri serta individu memerlukan,” katanya.