Juara dunia ‘perit’

Kuala Lumpur: Pada usia 58 tahun, pelumba rali negara, Karamjit Singh masih lagi mampu untuk mengharumkan negara, malah hingga kini belum ada mana-mana pelumba tempatan dapat memintas atau mengatasinya baik dari segi pengalaman ataupun di pentas pertandingan.

Dalam dunia permotoran negara ketika ini masih tiada pelumba tempatan berupaya mengulangi pencapaian Karamjit atau dikenali dengan julukan Flying Sikh bergelar juara dunia.

Bagaimanapun, juara dunia itu kini tidak lagi dapat berlumba kerana angkara pandemik Covid-19 menyebabkan dia menjual kereta kesayangannya Proton Waja pada harga RM7,000 untuk mendapatkan modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mengakui masih sayang ketika menjual kereta itu, dia yang pernah berlumba untuk pasukan Petronas EON Racing Team dan Pasukan Proton Pert Malaysia menggunakan kereta rali Proton 4WD itu terpaksa melakukannya kerana syarat yang ditetapkan pihak Grab.

Banyak dikorbankan demi mengharumkan nama Malaysia dan Proton di pentas dunia. Katanya, tiada lagi harta yang tinggal, kereta, rumah, wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semuanya habis digunakan sebagai modal untuk berlumba rali di peringkat Asia Pasifik satu ketika dulu.

Justeru, bapa seorang anak itu melihat menjadi pemandu Grab jalan terbaik bagi dirinya yang masih perlu menyara keluarga.

Pernah dijanjikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapat pencen hasil kejayaan di arena rali dunia, namun ia hanya janji mulut dan hingga kini tidak pernah menerimanya.

”Saya pernah jumpa KBS sekitar 2005 atau 2006. Mereka kata saya layak menerima pencen kerana kejayaan bergelar juara dunia sama seperti kejayaan meraih emas. Ketika itu mereka kata saya boleh dapat RM5,000.

”Itu hanya janji mulut dan hingga sekarang saya tidak dapat pencen berkenaan. Ia amat diperlukan untuk hari tua saya. Tapi ketika ini saya masih mahu berlumba sekurang-kurangnya untuk dua tiga tahun lagi.

”Berlumba hingga ke negara Asia Pasifik lain seperti New Zealand, Indonesia dan merata lagi sebab saya masih mampu bergelar nombor satu Asia. Kecergasan saya juga pada tahap terbaik dan saya rasa ramai anak muda tidak boleh tewaskan saya.

”Saya ke gimnasium empat kali seminggu selain melakukan aktiviti memanjat bukit dan gunung untuk kekal cergas. Daripada segi skil saya masih nombor satu.

”Ramai peminat mahu saya berlumba semula. Masalahnya, sekarang sukar untuk mendapatkan penajaan kerana kos berlumba dalam dunia permotoran tidak murah walaupun tidak semahal formula satu (F1),” katanya yang mula berlumba rali profesional sejak 1985.

Jelas apa yang terjadi kepada Karamjit itu membuktikan sukan permotoran di Malaysia belum mendapat perhatian penuh kerajaan.

Nama Karamjit meniti di bibir para peminat permotoran pada era 90-an dengan mendominasi kejuaraan rali di Malaysia. Karamjit seterusnya mengorak langkah dengan menjadi juara pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada 2001.

Kejayaan paling diingati apabila beliau muncul juara dunia WRC untuk kategori Kereta Pengeluaran Dunia FIA pada 2002 walaupun pada tahun pertama percubaan. Dia pelumba Asia pertama memenangi kejuaraan itu.