Juliana hargai rasa bahagia

SEIRING berjalannya waktu, usia juga semakin bertambah sekali gus mematangkan diri seseorang. Bagi pelakon dan pengacara, Che Puan Juliana Evans atau lebih mesra disapa Jue, mengakui status sebagai isteri dan ibu banyak mengubah dirinya.

Merasakan ada perbezaan, Jue kini lebih menghargai rasa bahagia di samping keluarga selain masih lagi aktif dengan kerja seninya.

“Berbanding dahulu, saya kini lebih matang dan dirasakan, diri saya sekarang seperti seorang individu yang berbeza.

“Kehidupan saya juga sangat berbeza dan kini saya bahagia dengan perkahwinan, keluarga serta kerjaya diceburi,” katanya.

Menurut Jue, dia yang sudah memulakan karier seninya di depan kamera sejak berusia 12 tahun, kini lebih selesa untuk hidup secara santai dan tenang.

“Saya mula bekerja sejak berumur 12 tahun. Setiap minggu saya jadi pengacara TV. Zaman saya masih bujang pun, saya macam terkejar-kejar untuk bekerja.

“Jadi, sekarang dah tiba masanya untuk saya luangkan masa berkualiti bersama anak. Saya pun dah makin pandai uruskan waktu di antara keluarga dan aktiviti kerjaya,” katanya.

Berkongsi mengenai anaknya, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, Jue bersyukur kerana dapat melihat anaknya membesar di depan mata.

“Walaupun bekerja, saya tidaklah terlalu sibuk. Jadi, saya dapat lihat anak saya membesar dan itu juga saya anggap satu anugerah untuk diri sendiri.

“Setakat ini, saya tak pernah tinggalkan anak lama-lama. Paling lama pun, lima hari sahaja sebab saya habiskan penggambaran untuk kempen pelancongan bersama Tourism Selangor, Pusing Selangor Dulu.

Ditanya mengenai karier seninya lagi, Jue berkata, dia masih tetap aktif berlakon dan mengacara.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya berada di rumah. Tapi, selepas kerajaan benarkan penggambaran dimulakan semula, saya mula aktif berlakon untuk beberapa telefilem.

“Antaranya, telefilem Air Mata Biru dan juga Instafamous. Selain itu, saya juga baru saja mengacarakan program bual bicara berjudul Hey Doc yang membincangkan perihal kesihatan dan isu berkaitan belia,” katanya.

JULIANA kini lebih matang.
JULIANA kini lebih matang.

Percutian dalam negeri

Berkongsi mengenai tahun 2020 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya, Jue melihat tahun lalu penuh dengan naik dan turun.

“Tahun 2020 ada naik dan turunnya. Namun, banyak juga yang kita semua belajar, sekali gus menjadikan kita semua individu yang lebih kuat. Pelbagai perkara berlaku kepada semua orang.

“Untuk tahun baharu ini, saya berharap agar semuanya akan lebih baik untuk kita semua. Saya rancang nak bawa anak saya bercuti dan berjalan-jalan dalam Selangor,” katanya.

Menurutnya, dia berhasrat untuk membawa anaknya melihat dan alami sendiri pengalaman menarik bercuti dalam negeri.

“Banyak tempat menarik di Selangor. Antara tempat yang saya nak sangat bawa anak melawati adalah melihat kelip-kelip dan memanjat gunung. Saya nak dedahkan dia kepada alam semula jadi,” katanya.

Jue juga mula menikmati tanggungjawab dan pengalaman sebagai ibu.

“Bila tengok anak aktif setiap hari, umpama ada kejutan untuk saya. Dia pun dah mula bercakap dan berlari-lari. Jadi, saya sekarang memang menikmati pengalaman sebagai ibu.

“Apa pun, saya mengharapkan supaya apa juga yang kita lakukan akan dipermudahkan dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) untuk keselamatan semua,” katanya.

JULIANA bersama anaknya, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah
JULIANA bersama anaknya, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah