Jururawat mengandung cedera bergelut dengan peragut

Port Dickson: Seorang jururawat hamil tujuh bulan cedera di dahi dan tangan kanannya apabila bergelut dengan peragut bersenjatakan pisau yang cuba merampas beg tangannya di depan rumahnya di Bandar Springhill, Lukut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.05 pagi, mangsa, Nur Azarina Mohd Nasir, 29, yang baru balik dari kerja syif malam di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) dihampiri seorang lelaki sebaik meletakkan kereta di tempat letak kereta di depan rumahnya.

“Lelaki berbadan besar itu terus mengugut saya dengan sebilah pisau dan cuba merampas beg tangan sebaik saya keluar dari kereta.

“Saya cuba melawan dan lelaki itu menolak menyebabkan saya jatuh terduduk sehingga tangan saya luka terkena pisau.

“Tetapi lelaki itu terus meletakkan pisau di leher anak lelaki saya yang berusia tiga tahun dan berada di dalam kereta sambil meminta saya menyerahkan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu terus lari selepas gagal merampas beg tangannya, namun berjaya melarikan telefon bimbitnya yang terjatuh.

Katanya, peragut itu mungkin lari kerana ada penduduk berdekatan datang dengan motosikal dan cuba membantu mengejar penjenayah yang menggunakan kereta Perodua Axia berwarna perak.

“Saya turut luka di dahi akibat hentakan dengan belakang pisau dan luka jari manis akibat terkena pisau digunakan penjenayah itu.

“Saya terus menghubungi suami yang bekerja sebagai tentera di Kem Rasah, Seremban dengan menggunakan telefon bimbit anak dan memaklumkan kejadian ini.

“Suami membawa saya ke Klinik Kesihatan Lukut untuk menerima rawatan. Saya menerima dua jahitan di dahi dan lima di jari manis tangan kiri.

“Kejadian ini benar-benar membuatkan saya trauma, namun lega kerana anak saya yang berusia setahun setengah tidak cedera,” katanya yang sudah enam tahun bekerja sebagai jururawat di HTJS.

Sementara itu, saksi kejadian, Jamaludin Jantan, 52, berkata, dia meronda bersama anaknya dengan menaiki motosikal terkejut selepas dimaklumkan mangsa diragut.

“Pada mulanya saya lalu di depan rumah mangsa dan menyangka ia pergaduhan suami isteri, namun berasa tidak sedap hati menyebabkan kami berpusing kembali dan kelihatan seorang lelaki tergesa-gesa meninggalkan lokasi dengan menaiki kereta.

“Selepas mangsa memaklumkan dia diragut dan telefon bimbitnya dibawa lari, saya cuba mengejar, namun gagal dan menghubungi jiran untuk membantu mangsa yang berlumuran darah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mustafah Hussin berkata, suspek kemudian berjaya ditangkap ketika sedang berehat di sebuah hotel di daerah ini pada 12.30 tengah hari.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang mengakibatkan mangsa cedera di bahagian muka dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Port Dickson.

“Suspek melarikan telefon bimbit milik mangsa dengan kereta dan anggaran kerugian RM500.

“Pada 12.30 tengah hari, kami menangkap tiga lelaki dan dua perempuan di dua tempat berasingan iaitu di Telok Kemang dan di sebuah apartment di Port Dickson untuk membantu siasatan,” katanya.