Kadar jangkitan COVID-19 menurun, New Zealand beransur-ansur longgarkan sekatan

Perdana Menteri, Jacinda Ardern baru-baru ini melonggarkan syarat perintah berkurung selepas melihat kes virus tersebut mula menunjukkan tanda-tanda positif. – Gambar fail

AUCKLAND: Rakyat New Zealand kembali dapat meneruskan aktiviti memancing, meluncur dan mendaki minggu ini, buat pertama kalinya selepas lebih sebulan negara itu mengenakan perintah berkurung bagi mengekang penularan COVID-19.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengambil keputusan melonggarkan syarat perintah berkurung selepas melihat kes virus tersebut mula menunjukkan tanda-tanda pengurangan dengan kadar jangkitan turun sehingga 1 peratus.

Dianggarkan kira-kira 400,000 orang akan kembali bekerja setelah negara itu menurunkan tahap amaran bahaya COVID-19  pada tengah malam Isnin.

Bagaimanapun, premis kedai dan restoran akan tetap ditutup kerana beberapa sekatan penjarakan sosial masih dilaksanakan di negara itu.

Kedai makan dan restoran pada masa sama mengumumkan rancangan penghantaran tanpa sentuhan, manakala kedai runcit mempraktikkan sistem pembelian dalam talian dan menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah bagi mengikuti arahan penjarakan sosial.

Ardern pada masa sama turut menekankan bahawa perhimpunan awam tetap dilarang sama sekali dan meminta orang ramai agar kekal berada dalam kawasan persekitaran masing-masing.

"Kita harus memastikan bahawa kita tidak membiarkan virus itu menyerang kita lagi dan menyebabkan gelombang kes dan kematian baharu.

"Untuk berjaya kita perlu mencari dan mengesan beberapa kes terakhir COVID-19," kata Ardern pada sidang akhbar pada Isnin.

Untuk rekod, lima juta penduduk New Zealand terjejas selepas pihak kerajaan mengambil langkah perintah berkurung yang mana pejabat, sekolah, bar dan restoran, termasuk perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran mula ditutup sejak 26 Mac lalu.

Banyak aktiviti perniagaan, termasuk parlimen dan mahkamah, memulakan persiapan pada hujung minggu bagi memulakan semula operasi minggu ini sambil mengekalkan peraturan penjarakan sosial.

Setakat ini, New Zealand melaporkan 1,122 kes COVID-19, termasuk 19 kematian, dengan kadar jangkitan baru setiap hari berada di bawah satu peratus selama dua minggu berturut-turut.

BACA: COVID-19: New Zealand bakal lanjutkan PKP selama dua minggu, sekatan dilonggarkan