‘Kami jaga anda seperti rakyat sendiri’ – janji PM Singapura kepada pekerja asing

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berjanji akan menjaga kebajikan dan kesihatan golongan pekerja asing yang bekerja di negara itu sepanjang tempoh sukar ini. – PMO Singaore

“KAMI akan menjaga anda, seperti mana kami menjaga rakyat Singapura..”

Itu janji Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kepada golongan pekerja asing yang bekerja di negara itu.

Jelas beliau, aspek kesihatan dan kebajikan pekerja asing akan dilindungi oleh republik tersebut dalam tempoh sukar ini.

“Kepada golongan pekerja migran, izinkan saya tekankan sekali lagi. Kami akan menjaga anda, sama seperti kami menjaga rakyat Singapura.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama anda dalam tempoh sukar ini. Kami akan menjaga kesihatan, kebajikan, dan kesejahteraan anda.

“Kami akan bekerjasama dengan majikan anda untuk memastikan bahawa anda dibayar dan dapat menghantar wang pulang ke negara masing-masing dan akan membantu anda berhubung dengan rakan dan keluarga,” jelas beliau.

Terdahulu, beliau mengesahkan tambahan 1,111 jangkitan kes COVID-19 di Republik itu yang menjadikan keseluruhan kes kepada 9,152.

Jelasnya, majoriti kes baru itu merupakan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing manakala 20 kes melibatkan warganegara Singapura dan Penduduk Tetap.

Untuk itu, beliau mengambil keputusan dengan melanjutkan pemutus rantaian jangkitan (circuit breaker) selama empat minggu lagi sehingga 1 Jun.

BACA: COVID-19: Singapura lanjut langkah pemutus litar sebulan lagi

BACA: COVID-19: 1,111 kes baharu di Singapura, 9,152 keseluruhan