‘Kami sedia!’

Washington: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, George Bush dan Bill Clinton menawarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di hadapan kamera bagi meningkatkan keyakinan awam.

Ia dilakukan selepas vaksinitu mendapat kelulusan daripada Food and Drug Administration (FDA) AS.

Obama dalam temu bual dengan hos SiriusXM berkata, sekiranya Dr Fauci menyatakan vaksin Covid-19 itu selamat, beliau mempercayainya.

“Anthony Fauci, saya percayakannya kerana kenal dan pernah bekerja dengannya.

“Jika Fauci katakan vaksin itu selamat dan boleh membantu mengelakkan anda terkena jangkitan Covid-19, sudah tentu saya akan dapatkannya. Saya mungkin lakukannya di siaran televisyen supaya orang awam tahu saya percayakan sains,” katanya dilaporkan CNN.

Ketua kakitangan Bush, Freddy Ford berkata, presiden AS ke-43 itu sudah berjumpa Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Negara, Dr Fauci dan koordinator Covid-19 Rumah Putih, Dr Deborah Birx untuk berbincang langkah yang boleh diambil untuk mempromosi vaksin terbabit.I

“Beberapa minggu lalu, Presiden Bush meminta saya memaklumkan kepada Dr Fauci dan Dr Birx untuk membantu menggalakkan orang ramai mendapatkan imunisasi.

“Namun, ia perlu dipastikan selamat terlebih dahulu dan beliau berbesar hati untuk melakukannya di hadapan kamera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19