‘Kami sekadar rakan niaga’

SELEPAS hubungan cinta dengan seorang deejay bukan beragama Islam yang dikenali hampir lima tahun menemui titik noktah, pelakon Chacha Maembong nekad membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.

Enggan diulit rasa kecewa yang terlalu lama, Chacha menganggap apa yang sudah dilaluinya sebelum ini sebagai satu perjalanan yang mematangkan.

Bagaimanapun, baru-baru ini ada khabar angin yang mendakwa pelakon filem Garang itu sedang menjalin hubungan cinta dengan seseorang.

Ditambah, kehadiran lelaki yang didakwa sebagai buah hatinya pada majlis pelancaran produk kecantikan diiusahakan Chacha serta sesi menandatangani kerjasama di antara pihak Eylsyle Elken Global dengannya baru-baru ini, seakan mengesahkan gosip hangat itu.

Namun begitu, Chacha pantas menafikan dirinya kini menjalin hubungan istimewa dengan usahawan dikenali Datuk Z itu, meskipun kehadiran lelaki terbabit turut mengenakan persalinan rona sedondon.

Chacha berkata, lelaki berusia awal 30-an itu sekadar rakan niaga yang banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya terutama mengenai selok-belok perniagaan.

Katanya lagi, Datuk Z turut membantu dirinya menghasilkan produk pertama di bawah keluaran syarikatnya, CM Secret iaitu Perfect Look by Chacha Maembong.

“Sebagai orang yang masih baharu di dalam bidang ini, saya perlukan bantuan daripada individu yang betul dan berpengalaman, selain adik-beradik.

CHACHA ketika sesi menandatangani kerjasama antara pihak Eylsyle Elken Global dengannya baru-baru ini.
CHACHA ketika sesi menandatangani kerjasama antara pihak Eylsyle Elken Global dengannya baru-baru ini.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan Datuk Z kerana dia berminat untuk membantu saya memulakan perniagaan. Ketika saya meluahkan minat ke arah perniagaan, dia sedia membantu dan kami mula berbincang serta mencari idea.

“Datuk Z menguruskan segala hal berkaitan pengurusan ketika saya sibuk dengan jadual penggambaran. Apapun tanggungjawab untuk proses pemasaran tetap menjadi peranan saya ,” katanya.

Menurut Chacha lagi, Datuk Z juga antara individu yang berjaya mengubah dirinya untuk menjadi lebih matang supaya dapat membantu keluarga.

“Dia individu yang baik dan banyak membimbing saya dalam pengurusan perniagaan. Pada masa sama, dia juga tidak kedekut ilmu untuk dikongsikan.

“Sebagai rakan niaga, saya juga masih lagi dalam proses mengenalinya.

“Saya berharap kerjasama ini berlangsung dalam tempoh yang panjang. Siapa tahu kalau hanya mengenalinya ala kadar saja, mungkin akan terjadi hal macam-macam di kemudian hari nanti.

“Jadi lebih baik untuk ami saling mengenali secara profesional dan serius. Setakat ini, saya percaya dengan kredibiliti Datuk Z selain ahli keluarga juga mengenalinya ,” katanya.

Ditanya mengenai kisah cinta lamanya yang kecundang di tengah jalan itu, pelakon filem Garang ini tidak mahu mengulas lanjut.

“Apa yang boleh dikongsi, saya tidak mahu lagi memikirkan soal cinta atau segala apa yang pernah berlaku di dalam hidup ini.

“Saya kini mahu fokus dan nak lebih berjaya dalam hidup. Saya mahu jadi matang dan positif supaya dapat terus membantu keluarga.

“Apatah lagi, keluarga saya sudah ramai yang berkahwin dan ada kehidupan mereka sendiri. Sebagai anak bongsu, saya dah tidak boleh main-main lagi,” katanya.

Sudah makin matang

Akui pelakon drama Kau Yang Terindah ini lagi, sejak kakaknya pelakon, Emma Maembong mendirikan rumah tangga, dia berasa perlu mengubah diri menjadi insan yang lebih baik.

“Selepas Emma berkahwin, terdetik satu perasaan dalam hati saya supaya berubah dan tidak boleh menjadi seperti sebelum ini.

“Kalau dulu, setiap kali buat nakal, saya tahu kakak akan sentiasa ada dengan saya untuk menyokong dan menjadi tempat mengadu.

“Selain itu, saya juga sudah mula sedar tanggungjawab. Sampai bila saya mahu mengecewakan peminat dan orang sekeliling. Terutama, keluarga sendiri.

“Jadi, sekarang adalah masanya saya berubah menjadi individu yang ada hala tuju dalam hidup dan lebih fokus kepada kerja dilakukan,” katanya.

CHACHA mahu berubah menjadi individu yang ada hala tuju dalam hidup dan lebih fokus kepada kerja.
CHACHA mahu berubah menjadi individu yang ada hala tuju dalam hidup dan lebih fokus kepada kerja.

Seronok ceburi bisnes

Siapa sangka, di usia muda iaitu 24 tahun kini Chacha akhirnya mendapat peluang kesedaran untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan.

Katanya, dia amat bersyukur dan idea berkenaan tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana kerajaan akibat penularan Covid-19 pada Mac lalu.

“Hasrat mengeluarkan produk kecantikan sendiri ini timbul ketika PKP. Cuma, ketika itu saya masih lagi mencari apakah produk yang sesuai. Selepas membuat kajian selama berbulan-bulan, baharulah menemui produk ini.

“Produk kecantikan yang saya perkenalkan ini boleh membantu untuk menegangkan kulit muka, menghilangkan dagu berlapis, kantung mata serta mencerahkan kulit yang kusam,” katanya.

Mengulas harapannya, Chacha berkata, dia sangat berharap perniagaannya berjaya. Malah, untuk kerjaya seni pula dia mengakui bersyukur hingga kini masih lagi menerima tawaran berlakon.