Kanak-kanak 3 tahun lemas jatuh sungai

KANAK-KANAK berusia tiga tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras di Kampung Kuala Kedua, Siong di Baling, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata dalam kejadian 5 petang itu, Muhammad Danish Iskandar Abdul Muizz, dikatakan bermain di hadapan rumahnya bersama ibu dan adiknya berusia setahun.

Bagaimanapun, katanya, ibunya masuk semula ke dalam rumah dan meninggalkan mangsa bersama adiknya bermain di situ.

“Selepas itu, ahli keluarganya tidak nampak kelibat mangsa dan hanya adiknya sahaja berada di hadapan rumah.

“Selepas berusaha mencari di belakang rumah, mereka menemui selipar dipakai mangsa di tepi sungai kira-kira dua meter dari tebing.

“Masa itu air sungai deras dandalam disebabkan hujan lebat sejak akhir ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Syed Basri berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tepi tebing dan dihanyut arus deras.

“Mayat mangsa ditemui terapung di sungai Lubuk Badak, Kuala Kedua oleh orang asli Lubuk Legong.

“Mangsa dijumpai kira-kira kurang dua kilometer dari tempat dipercayai dia terjatuh,” katanya

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa terjatuh ke dalam sungai dan tidak ada unsur jenayah,” katanya.