‘Kapten’ cilik Uganda

Kampala: Seorang kanak-kanak Uganda berusia tujuh tahun menjadi perhatian dunia apabila mempunyai pengetahuan meluas mengenai kemahiran menerbangkan pesawat.

Portal ndtv.com melaporkan, Graham Shema diundang untuk temuramah di televisyen tempatan dan namanya kemudian terpapar di dada akhbar dan media sosial dengan gelaran ‘Kapten’.

Duta besar Jerman dan Menteri Pengangkutan negara itu kemudian mengundangnya untuk mesyuarat.

Pencinta Matematik dan Sains itu dilaporkan sudah tiga kali menyertai penerbangan dengan pesawat Cessna 172 sebagai juruterbang pelatih.

Dia mengatakan ingin menjadi juruterbang dan angkasawan serta mengimpikan melakukan perjalanan ke Marikh.

“Idola saya adalah Elon Musk. Saya suka Elon Musk kerana ingin belajar dengannya mengenai ruang angkasa, pergi bersamanya di angkasa lepas dan juga untuk berjabat tangan dengannya,” katanya.

Musk adalah billionaire yang juga pengasas SpaceX iaitu inisiatif swasta yang berharap suatu hari akan menghantar manusia ke Marikh.

Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe Uganda, dia dilihat memberi jawapan terperinci selepas jurulatihnya memintanya untuk menjelaskan bagaimana enjin berfungsi pada pesawat Bombardier CRJ9000 yang diparkir di landasan.

Rasa ingin tahu Shema untuk terbang disebabkan oleh kejadian aneh.

Ketika berusia tiga tahun, helikopter polis terbang begitu rendah ke tanah sehingga meletupkan bumbung rumah neneknya di pinggir Kampala, ketika dia bermain di luar kediaman itu. .

“Ini mencetuskan sesuatu dalam fikirannya,” kata ibunya, ejen pelancongan Shamim Mwanaisha berusia 29 tahun.

Anaknya kemudian sering bertanya soalan mengenai bagaimana pesawat berfungsi.

Tahun lalu, dia menghubungi akademi penerbangan tempatan dan Shema memulakan pelajaran di rumah mengenai bahagian pesawat dan mempelajari kosa kata untuk penerbangan.

“Saya merasa seperti ‘burung terbang’,” kata Shema mengenai penerbangan pertamanya.

Dia menyertai penerbangan sebagai pembantu juruterbang sebanyak tiga kali antara Januari dan Mac sebelum Covid-19 menghentikan pembelajarannya.

Sejak itu, dia memfokuskan diri pada teori penerbangan dan belajar menerusi video mengenai penerbangan kaedah realiti maya (virtual reality).