‘Karya ini khas buat rakyat Malaysia’

“KARYA ini saya tujukan khusus buat seluruh rakyat Malaysia dengan mesej menyeru kita semua untuk bersatu hati duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Fakhrul Zaman Mohd Sambas.

Fakhrul, 44, tampil dengan inisiatif menghasilkan seni mural pada dinding luar rumahnya di Bandar Pulai Jaya, Skudai, Johor, sejurus kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP bulan lalu.

Bertitik tolak daripada rasa berterima kasih terhadap petugas barisan hadapan khususnya sektor kesihatan yang berkorban masa dan tenaga demi melenyapkan wabak Covid-19, penghargaan itu dizahirkan pelukis mural di selatan tanah air itu menerusi sapuan berus dan warna pada permukaan dinding yang mengambil masa lapan hari untuk disiapkan.

Dia yang juga kurator sebuah universiti berkata, biarpun mural itu dihasilkan sendirian tanpa bantuan sesiapa, dia lega kerana berjaya menyiapkannya sekali gus berkongsi rasa itu dengan individu yang melihat.

“Menyaksikan jerih payah ‘frontliners’ berdepan risiko jangkitan penyakit yang masih tiada penawar sehingga kini, hati saya umpama dijentik untuk zahirkan rasa terima kasih kepada mereka.

“Dengan pengorbanan mereka yang tidak terungkap dek kata-kata, saya amat berharap kita semua (rakyat) turut sama memainkan peranan semudah duduk di rumah.

“Oleh itu, dengan sedikit idea yang diperoleh melalui media sosial serta individu sekeliling, saya mula ubah dinding putih di bahagian luar rumah saya kepada mural bertemakan Covid-19. Semoga karya sekecil ini dapat menyampaikan mesej terima kasih saya serta menyuntik semangat memerangi virus ini habis-habisan kepada setiap orang yang melihatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fakhrul, lukisan mural yang siap sepenuhnya pada 30 Mac lalu itu lebih mudah dihasilkannya memandangkan kediamannya adalah unit hujung dua tingkat yang mempunyai dinding rata agak luas dan sesuai.

Jelasnya, lorong tepi rumahnya itu menjadi laluan utama penduduk Bandar Pulai Jaya untuk ke jalan besar justeru dia yakin mural itu dapat dilihat ramai orang.

“Jika dilihat lebih dekat, saya turut menggunakan #janganmacamsiamang dan #dukrumah pada mural terbabit bertujuan menyampaikan mesej kepada orang awam dalam bahasa lebih mudah.

“Sebenarnya pun, tanda pagar ini saya ambil daripada penggunaan rata-rata warganet di media sosial yang turut menyebarkan mesej duduk di rumah sepanjang PKP menerusi alam maya.

“Gaya dan warna lukisan juga saya olah daripada penelitian saya terhadap perkembangan semasa Covid-19 yang membanjiri media setiap hari baik dalam bentuk penulisan, grafik, audio dan sebagainya.

“Mungkin ini antara yang saya boleh sumbangkan untuk menyokong usaha kerajaan memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Katanya, mungkin ada yang tertanya-tanya simbolik warna dan imej yang dipaparkan pada lukisan itu.

“Secara ringkasnya, saya selitkan bendera negara China sebagai punca kewujudan Covid-19 dan simbol palang merah yang diputihkan sebagai tanda kemurnian hati petugas barisan hadapan kita dalam menjalankan tugas.

“Saya juga masukkan aksara ‘corona’ pada tingkap rumah saya selain sebahagian imej koronavirus,” katanya.

Secara keseluruhan jelas Fakhrul Zaman, modal cat bagi penghasilan mural itu dikeluarkan sendiri dengan kos dianggarkan lebih RM1,000.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan