Kasih sayang utuh

KATA orang fasa bertunang sesuatu yang mendebarkan kerana penuh dugaan.

Barangkali ada benarnya kerana ada pasangan yang kecundang dengan ujian mendatang dan akhirnya memutuskan pertunangan.

Bagaimanapun, situasi sebaliknya dilalui penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat yang mengikat tali pertunangan dengan Nabil Mahir pada 28 April lalu.

Penyanyi lagu Pencuri Hati itu mengakui sehingga kini mereka tidak pernah didatangi ujian yang boleh mengganggu gugat kasih sayang mereka.

“Saya dah selalu dengar pelbagai kenyataan dikeluarkan mengenai perkara ini. Betul atau sekadar nak mengusik tak pastilah.

“Sehingga kini, alhamdulillah saya dan Nabil gembira dengan apa yang dilalui. Hubungan kami lancar dan setiap hari kami seperti nak segerakan perkahwinan.

“Tak dinafikan ada beberapa dugaan, tapi bukan berkaitan hubungan kami,” katanya.

BUKAN mengada-ngada, tetapi enggan keluar rumah fikirkan pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.
BUKAN mengada-ngada, tetapi enggan keluar rumah fikirkan pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.

Menurutnya, apa yang datang sebaliknya seakan menguji kekuatan mental.

“Dugaan ini berbentuk tawaran kerja yang datang. Kadangkala terfikir juga patutkah saya ambil tawaran terbabit?

“Sekiranya saya ambil, persediaan kahwin akan terganggu pula. Macam-macam yang datang dalam kepala.

“Contohnya, kalau ambil kerja itu, saya akan dapat duit banyak, tapi bagaimana pula dengan persediaan hari bahagia ini,” katanya.

Ayda berkata, dia kena berfikir apa yang diperlukan atau mana yang dikehendaki.

“Ia berbeza iaitu apa yang kamu perlukan dan apa yang kamu nak. Sekarang apa yang diutamakan ialah majlis kahwin kami.

“Kalau diikutkan tawaran yang datang memang saya nak. Tapi, kalau ambil jadual memang lari dan saya tak dapat nak kahwin.

“Itu dugaan dan Tuhan kata yang mana saya nak? Saya nak suami atau duit,” katanya.

Terlanjur bercakap soal kahwin, Ayda, 28, berkata, dia kini giat melakukan persiapan menuju hari bahagia yang masih dirahsiakan tarikhnya.

“Ini perkahwinan yang kedua dalam keluarga saya selepas majlis perkahwinan adik perempuan saya.

“Dia kini mengandung dan sedihnya hari saya kahwin nanti dia tak dapat datang kerana menanti kelahiran anak pada bila-bila masa.

“Persiapan untuk majlis kahwin ini dibuat sendiri. Keluarga tak terbabit sangat kerana mereka tahu kalau saya sahaja pasti okay kerana saya boleh uruskan sendiri,” katanya.

Menurut Ayda, keluarganya hanya mengikut apa yang dirancang, namun sedia memberikan pendapat jika dirujuk.

“Setakat ini semuanya saya uruskan dengan bantuan perunding perkahwinan.

“Sebenarnya tak banyak kerja pun kerana 70 peratus diuruskan perunding perkahwinan saya iaitu Sanggul Event.

“Mereka sangat bagus dan selesaikan semuanya untuk saya,” katanya.

Belum selesa

Biarpun penggambaran sudah dibenarkan, Ayda yang popular dengan drama Rindu Awak 200% mengakui belum terbabit dengan sebarang penggambaran drama.

“Kalau ‘shooting’ pun hanya untuk iklan komersial dan produk. Untuk drama memang tak sempat kerana saya fokus untuk persiapan kahwin.

“Tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Syukur saya juga tiada projek yang tertangguh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika PKP pula, saya masih boleh bekerja dari rumah termasuk rakam lagu sendiri. Kalau ada yang kena ‘shooting’ pun, saya minta mereka datang rumah,” katanya.

Ayda bukan mengada-ngada, tetapi enggan keluar memikirkan pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.

“Saya sendiri tak tahu, sekarang apabila pergi mesyuarat ada orang ramai atau pergi kompleks beli-belah saya akan rasa ‘panic attack’.

“Badan mengigil dan rasa macam nak balik cepat. Dah lama sangat tak keluar rumah. Apabila keluar rasa macam bahaya.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya ada ‘anxiety disorder’ (gangguan kebimbangan), dan apabila tengok ramai orang saya rasa tak selesa. Ada beberapa mesyuarat yang saya minta batalkan kerana ramai sangat orang. Ataupun mereka kena keluar baharu okay,” katanya.