Kawalan pergerakan bersasar selepas laksana vaksinasi

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan dilakukan untuk mengekang penularan Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan strategi kawalan penularan wabak itu secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

“Pada masa sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan PKP secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesebuah negeri.

“Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,” katanya dalam perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) secara langsung, hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Bagi melindungi golongan pekerja, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan melaksanakan inisiatif [email protected] yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif kepada pekerja.

“Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program [email protected] akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19,” katanya.

Menurutnya, sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program bersifat sukarela itu, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja.

“Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan lulus audit pematuhan [email protected].

“Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April depan, selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan Covid-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan Covid-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember depan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19