Kebumi dalam banjir

Jakarta: Penduduk di Kampung Dampaan, di Gresik, Jawa Timur terpaksa mengebumikan seorang warga emas di kawasan tanah perkuburan digenangi air.

Kejadian Selasa lalu itu menjadi tular dimuat naik ke media sosial dan dilaporkan menerusi media.

Tribunnews melaporkan banjir di kawasan berkenaan disebabkan limpahan air dari Tasik Lamong yang menenggelamkan banyak kawasan di sekitarnya.

Menurut laporan itu, jenazah lelaki dikenali sebagai Tasmin, 81, terpaksa dimakamkan di situ walaupun mengalami kesukaran kerana kawasan perkuburan berkenaan, dinaiki air.

Wakil penduduk, Suyono berkata, penduduk terpaksa menguruskan upacara pengebumian walaupun banjir.

Mereka sebelum itu perlu mengusung jenazah mengharungi banjir kerana tiada tanah perkuburan lain.

“Penggali kubur perlu membuat penghadang kayu bagi menghalang air masuk ke liang,” kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Yono.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah Gresik, Tarso Sagito berkata, banjir melanda kawasan Cerme manakala di daerah Balongpanggang beransur pulih.

Empat kawasan lain iaitu Benjeng, Cerme, Kedamean dan Menganti masih ditenggelami air.

“Jalan raya di Morowudi masih ditenggelami air sedalam 0.8 meter (m), sejauh 800 m. Banjir menjejaskan 750 rumah,” katanya.