Kedah syor PKPD bagi Kluster Sungai, Telaga

Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah akan mengemukakan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di kawasan jangkitan Covid-19 bagi Kluster Sungai dan Telaga.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan itu akan dibawa pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri COVID-19 membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan beberapa agensi lain.

Katanya, ini berikutan hanya pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran berjaya memberi kesan positif bagi mengekang penularan wabak itu seperti Kluster Sivagangga di Napoh dan Kluster Tawar di Amanjaya, Sungai Petani.

“Kalau ikut pengalaman kita, memang PKPD adalah kaedah paling berkesan. Cumanya pertimbangan perlu dibuat sama ada langkah itu akan memberi kesan terhadap sektor lain seperti ekonomi dan pendidikan.

“Kita bimbang kerana ia membabitkan petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan, kini ahli keluarga mereka pula terbabit.

“Rakyat sendiri berharap kerajaan negeri dapat ambil tindakan dan ini yang kita lakukan iaitu membuat syor dan menghantar segera kepada MKN,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 16 petugas kesihatan antara 26 kes positif Covid-19 dalam Kluster Sungai, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, daripada jumlah petugas kesihatan terbabit, seorang turut menjangkiti tujuh ahli keluarganya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya berharap rakyat Kedah dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM dan MKN.

Katanya, rakyat perlu mengambil tindakan awal dengan menjaga keselamatan dan kesihatan diri selain mengelak daripada berada di luar rumah terlalu lama jika tiada keperluan.

“Kita tunggu keputusan MKN, dan di peringkat Kerajaan Pusat juga akan diadakan mesyuarat dan mereka akan mengambil tindakan paling baik setelah mengambil kira semua faktor.

“Pada masyarakat pula, diminta terus menjaga penjarakan fizikal, bagi orang muda kurangkan melepak di luar untuk elak menjadi rantaian Covid-19 atau menjadi pembawa kepada orang tua dan adik-beradik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan