Kediaman airport

TOKYO: Sebuah keluarga masih tetap enggan berganjak daripada mendiami rumah dan mengusahakan ladang pertanian berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dekat sini.

Ia meskipun mereka terpaksa mendengar bunyi bising daripada pesawat yang mendarat dan berlepas setiap masa di lapangan terbang tersibuk di Jepun itu.

Keluarga Takao Shito itu berbuat demikian meskipun berdepan desakan banyak pihak demi mempertahankan tanah warisan yang didiami sejak lebih 100 tahun lalu.

Dulunya, tanah berkenaan dikelilingi hutan sebelum ia dibangunkan sebagai ladang pertanian oleh keluarganya.

Namun, kerajaan memutuskan untuk membina lapangan terbang antarabangsa di situ sekitar tahun 1960-an.

Pihak berkuasa menawarkan wang pampasan untuk penduduk kampung dan menyebabkan satu persatu keluarga di sekitar kawasan itu berpindah.

Kisah mengenai ‘kedegilan’ keluarga Takao Shito pernah beberapa kali dipaparkan menerusi media sebelum ini.

Mereka pernah ditawarkan AS$1.7 juta (kira-kira RM7.1 juta), namun keluarga itu masih kekal dengan pendirian untuk tidak berpindah dan memperjuangkan hak untuk mendiami kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

“Ini adalah tanah yang diwarisi oleh tiga generasi. Saya akan terus menetap di sini untuk bertani,” katanya Shito seperti dilaporkan portal Odditycentral.com.

Daripada lima rumah yang tinggal di kawasan itu, hanya keluarga Shito yang masih kekal di situ.