Kejutan bekas kekasih atas pelamin

Lombok: Seorang pengantin perempuan tiba-tiba meraung pada majlis pernikahannya selepas menerima ucapan selamat berbahagia daripada bekas teman lelakinya.

Kejadian berlaku di Desa Labuan Lombok di Lombok Timur, Sabtu lalu selepas lelaki dikenali sebagai Dayat itu hadir ke majlis perkahwinan bekas teman wanitanya.

Dia kelihatan naik ke pelamin dan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai menyebabkan pengantin perempuan tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak.

Kompas melaporkan kejadian itu tular di pelbagai media sosial selepas video mengenainya dikongsikan di Instagram.

Di dalam rakaman itu, kelihatan Dayat yang mengenakan baju kemeja hitam naik ke pelamin untuk mengucapkan selamat berbahagia kepada pengantin.

Ketika itu, kedengaran tetamu majlis bersorak selepas dipercayai menyedari bahawa lelaki itu adalah bekas teman lelaki kepada pengantin perempuan.

Dayat juga turut dilihat memeluk pengantin lelaki dan pada masa sama pengantin perempuan yang juga bekas kekasihnya itu menjerit dan menangis teresak-esak.

Melihat keadaan pengantin perempuan itu, individu dipercayai ahli keluarga segera membawa lelaki itu turun dari pelamin.

Berdasarkan video tular itu, pengantin perempuan terus menjerit-jerit sebelum keletihan di atas pelamin.

Dalam pada itu, Dayat berkata, dia menerima undangan daripada kedua-dua mempelai untuk hadir ke majlis itu.

“Saya hadir kerana undangan…saya hargai. Saya datang bersama keluarga pengantin perempuan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk menimbulkan pergaduhan dan hanya ingin mengucapkan tahniah kepada pengantin baru.

“Niat saya baik datang ke majlis itu. Saya sanggup datang dari Lombok Barat ke Lombok Timur untuk melihat mereka gembira.

“Saya juga gembira dan bahagia,” katanya.