Kekal reputasi anak seni

KEDATANGAN tahun baru semestinya diharapkan menjadi lebih baik buat semua orang. Bagi pelakon, Amyra Rosli dia mahu terus mengekalkan prinsip menjadi anak seni yang menjaga reputasi sebaiknya.

Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 29, berkata, banyak hal yang perlu dijaga rapi dalam memastikan dirinya dihormati. Apatah lagi, dia sendiri sudah berumah tangga selain tampil berhijab lebih setahun lalu.

Namun pelakon drama Sang Pewaris mengakui pernah berdepan kerisauan mengenai rezeki lakonan selepas mula berhijab dulu.

Menurutnya, dia ragu-ragu sekiranya tidak laku untuk watak utama dengan penampilannya itu.

“Sedar tidak sedar, saya sudah setahun bertudung, alhamdulillah. Tapi, sebenarnya beberapa bulan selepas berhijab dulu, ada timbul keraguan dalam diri jikalau masih ada mahu ambil saya berlakon.

“Apabila mendapat tawaran untuk Sang Pewaris, syukur saya masih relevan untuk mendapat watak heroin dalam drama. Jadi, saya percaya berhijab bukan sekatan untuk terus mendapat rezeki,” katanya.

Hakikatnya, Amyra juga tidak terlalu mengehadkan dirinya dalam menjayakan sebarang karakter lakonan hanya disebabkan dia kini berhijab.

Menurutnya, amat penting untuk tetap tunjukkan keberkesanan watak dengan corak lakonan yang hidup.

“Kalau tengok dalam Sang Pewaris, semua pelakon wanita yang menjayakannya berhijab. Jadi, tiada isu pun pelakon berhijab tidak boleh melakukan contohnya watak yang terlebih riang,” katanya.

Syukur rezeki dipermudahkan

Isteri pelakon Amar Baharin serta ibu dua cahaya mata, Aqeef Anaqi Amar dan Ayra Aryssa itu paling bersyukur apabila rezekinya tetap dipermudahkan sehingga kini. Apatah lagi, industri seni agak terjejas selepas dilanda pandemik Covid-19.

Berkongsi mengenai cabaran daripada tawaran kerja, Amyra bertuah apabila kerjanya masih berjalan untuk terus meraih rezeki. Bagaimanapun, dia sangat berharap keadaan menjadi normal semula dalam industri seni sendiri.

SANGAT teruja diberikan watak heroin dalam Sang Pewaris.
SANGAT teruja diberikan watak heroin dalam Sang Pewaris.

I

“Setakat ini, tiada rezeki yang tersekat dan memang dilancarkan semuanya. Syukur juga penggambaran pun sudah dibenarkan manakala tanggungjawab saya sebagai duta produk tidak terjejas,” katanya.

Jika dilihat perjalanan karier Amyra sejak mula berlakon pada 2009, dia antara artis yang terus kekal menjaga reputasi baik. Baik sebelum berkahwin sehingga sekarang sudah bahagia berkeluarga.

Namun dia tetap mengutamakan pembawaan diri sentiasa terjaga apatah lagi membabitkan media sosial. Baginya, dia tidak mahu menjadi artis yang dipandang serong warganet dan perlu berhati-hati dalam perkongsian di platform itu.

“Untuk kekal relevan, pelakon seperti saya yang sudah berumah tangga, kena jaga nama. Media sosial pun tak boleh guna sewenang-wenangnya. Bukan semua perkara seperti pergaduhan nak kena kongsi di media sosial.

“Nanti kesudahannya, warganet hanya akan memandang rendah terhadap artis. Kena sentiasa tunjuk contoh yang bagus, semua positif, paling utama jadi diri sendiri dan jaga nama,” katanya.

Sang Pewaris beri dimensi berbeza

Rancak diperbualkan mengenai wataknya sebagai Zara Aireena dalam Sang Pewaris, Amrya mengakui drama terbabit memberikan dimensi berbeza buat dirinya. Lebih menarik, gandingannya dengan Ben Amir buat pertama kali menjadi.

Justeru, dia tidak melihat gandingan itu perlu dibandingkan dengan fenomenanya bersama Syafiq Kyle untuk drama popular Nur sebelum ini. Baginya, dia tiada masalah pun untuk keluar daripada bayangan drama terdahulunya itu.

“Ia adalah dua drama yang berlainan. Gandingan dengan Syafiq dalam Nur menjadi fenomena dan gandingan bersama Ben pun saya yakin menjadi. Kedua rezeki itu lain-lain dan yang lebih penting adalah memberikan lakonan berkesan.

“Bekerjasama dengan Ben sememangnya cukup menyenangkan. Keserasian kami mudah terjalin ketika penggambaran. Lebih mengagumkan, dia adalah pelakon yang memberi sepenuh jiwanya di set penggambaran,” katanya.

Dalam pada itu, Amyra juga sangat berharap tahun ini menjadi lebih baik daripada tahun penuh dugaan yang lalu. Baginya, dia cuma ingin merasakan kembali keseronokan meluangkan masa bersama keluarga di luar rumah.

“Semoga cepat tamat dan habis pandemik Covid-19 ini. Sejujurnya saya rindukan keadaan yang dulu di mana boleh pergi jalan-jalan tanpa rasa risau. Teringin sangat merasakan kembali keseronokan itu.

“Begitu juga untuk industri hiburan sendiri. Semoga tahun ini rezeki terbuka lebih luas untuk semua dan kembali menjalani kerjaya dengan situasi yang normal seperti sebelumnya,” katanya.