‘Keluarga mencari titik penyelesaian’ – Neelofa [METROTV]

Kuala Lumpur: “Isu kononnya saya sudah melangsungkan perkahwinan dan dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas,” luah selebriti dan usahawan popular Neelofa mengenai fitnah yang tular di internet sejak semalam. 

Neelofa menerusi satu kenyataan media berkata, dia memohon agar semua pihak tidak mudah percaya terhadap setiap andaian yang tular mengenai perhubungannya dengan PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 25.

“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini.

“Sementara itu, mengenai status hubungan terkini saya dengan Haris, apa yang mampu saya katakan, setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.

“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya.

Menurut Neelofa. dia turut menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya dia terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah duit yang banyak kepada pendakwah muda itu.

“Cerita kononnya saya terkena buatan minyak pengasih cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya, ia adalah satu tuduhan yang amat berat. 

“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya.

“Saya juga menyangkal tuduhan kononnya saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris.  Perkara itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Dalam masa sama, wanita jelita berusia 31 tahun itu tampil memohon maaf kepada keluarga kedua-dua belah pihak atas isu yang berlaku.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku. Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.

“Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati.

“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” katanya.

Sebelum ini, kecoh apabila kakak Neelofa iaitu Noor Nabila memuat naik beberapa kapsyen foto di Instagram Story didakwa ditujukan kepada seseorang.

Selain Nabila, adik Neelofa iaitu Atisha Khan dan Ameera Khan serta sepupu-sepupu mereka turut memuat naik kata-kata sinis yang hampir sama di Instagram Story masing-masing.

Lebih mencurigakan, ibu Neelofa, Noor Kartini juga membuat perkongsian di Instagram story berkaitan kata-kata memohon perlindungan Allah SWT daripada perkara buruk.

Terdahulu, Neelofa dilaporkan sudah dirisik oleh PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail pada 1 November lalu di kediaman keluarga bekas pengacara MeleTOP itu.

Malah, dilaporkan juga pasangan itu bakal mendirikan rumah tangga pada Mac tahun depan. Bahkan, baru-baru ini hangat di media sosial apabila Neelofa dikata terlepas memanggil PU Riz ‘sayang’ dalam satu video mereka di YouTube. 

NEELOFA
NEELOFA

 

Berita berkaitan

• Neelofa jawab, jam 8 malam ini

• Neelofa, PU Riz masih saling mengikuti di media sosial

• PU Riz ‘trending’ di Twitter, hubungan dengan Neelofa bermasalah?