‘Kematian anak saya belum terbela’

KELUARGA kepada pelajar tahfiz yang mati dibunuh pada Disember 2014 meluahkan rasa kecewa apabila kematian mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Ibu mangsa, Ruhani Hussin, 65, berkata, walaupun Mahkamah Koroner memutuskan kematian anaknya, Wan Ahmad Faris Wan Yaakob, 16, dibunuh oleh individu yang identiti tidak kenal pasti, namun sehingga kini kes anaknya seolah-olah tidak disiasat.

“Sudah enam tahun berlalu kematian tragis anak saya, malah keputusan mahkamah mengatakan anak saya dibunuh bukannya membunuh diri.

“Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan terhadap kes anak saya, sama ada pihak polis membuka kertas siasatan atau sebaliknya.

“Ibu mana tidak sedih mengenangkan kematian anak tersayang tidak mendapat pembelaan dengan individu yang menjadi dalang kematian masih bebas sehingga kini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas.

Ruhani berkata, walaupun dia sekeluarga sudah reda dengan kematian anak sulungnya, namun mereka tidak akan memaafkan pelaku yang menyebabkan kematian anaknya.

“Sebagai ibu, memang saya reda dengan takdir yang menimpa anak saya, namun besar harapan saya untuk melihat pelaku arwah dibawa ke muka pengadilan.

“Justeru, saya merayu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat kes anak saya yang sudah terbukti dibunuh dan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya akan menyemak apa sebenarnya yang berlaku terhadap kertas siasatan mangsa dan akan memberi penjelasan sebaik meneliti perkara berkenaan.

Pada 14 Disember 2014, mayat Wan Ahmad Faris, iaitu pelajar Tingkatan Empat Sekolah Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas ditemui tergantung dalam keadaan separuh bogel.

Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu.

Hasil bedah siasat ke atas mayat itu yang dijalankan oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris pada Disember 2014 adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Koroner, Adli Abd Ghalib membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 11 saksi termasuk keluarga, rakan mangsa, polis, dan pihak sekolah.