Kematian COVID-19 di Indonesia kini 191 kes, ramai pihak mula persoal kesahihan jumlah

Provinsi Jakarta dan Jawa Barat, kini mencatatkan jumlah kematian tertinggi yang diumumkan pemerintah pusat, dengan jumlah kes sebanyak 90 dan 28 kes. – AP

JAKARTA: Jumlah kematian akibat COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 191 kes, namun pelbagai pihak kini mula mempersoalkan kesahihan data rasmi pemerintah pusat itu.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto berkata, sebanyak 10 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, manakala bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 106 lagi kes baharu disahkan, menjadikan jumlah kes positif setakat ini berjumlah 2,092 kes.

Achmad Yurianto menegaskan jumlah kematian dan kes positif itu, disahkan mengikut prosedur dan standard pemeriksaan yang ditetapkan.

Jumlah kematian akibat virus itu menjadi polemik apabila Gabernor Jakarta Anies Baswedan, dalam satu sidang video bersama Naib Presiden Indonesia Ma'ruf Amin, pada 2 April lepas, menyatakan "berpuluh-puluh kematian, melebihi 40 kematian setiap hari", berlaku di Jakarta sepanjang Mac lepas.

Berdasarkan perangkaan kematian oleh Pemerintah Jakarta, sebanyak 283 kematian berlaku dari tempoh 6 Mac hingga 29 Mac, dan semua jenazah itu dikebumikan mengikut prosedur pengkebumian pesakit COVID-19, melibatkan jenazah yang disyaki, atau yang meninggal sebelum disahkan positif virus itu.

Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil, dipetik media tempatan, turut mempertikaikan laporan kematian dan jumlah kes positif yang diumumkan pemerintah pusat ketika ini, yang didakwanya kes berkenaan sebenarnya jauh lebih tinggi.

Provinsi Jakarta dan Jawa Barat, kini mencatatkan jumlah kematian tertinggi yang diumumkan pemerintah pusat, dengan jumlah kes sebanyak 90 dan 28 kes.

— BERNAMA