Kemuliaan hati 8 beranak

Kuala Lumpur: Sediakan barangan keperluan seperti beras, gula, sardin, minyak masak, susu dan mi segera sebelum diletakkan di hadapan rumah untuk diagihkan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Itu kemuliaan hati lapan beranak dari Seksyen 19, Shah Alam yang berganding bahu menyediakan barangan keperluan itu semalam untuk diagihkan kepada orang ramai.

Kisah itu mendapat perhatian selepas salah seorang daripada ahli keluarga itu, Marrisa Zahara Maslan, 24, memuat ciapan di Twitter bersama gambar barangan keperluan yang diagihkan kepada penerima.

Perkongsian itu kemudiannya tular dengan rata-rata warganet memuji usaha keluarga berkenaan dalam meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Bercerita lanjut, Marissa berkata, inisiatif itu dilaksanaan hasil cetusan idea oleh ibu, Juridah Atin, 59, dan bapanya, Maslan Urmin, 59.

MARISSA Zahara (dua dari kanan) bersama keluarga besarnya. FOTO ihsan Marrisa Zahara Maslan
MARISSA Zahara (dua dari kanan) bersama keluarga besarnya. FOTO ihsan Marrisa Zahara Maslan

Katanya, dana untuk membeli barangan keperluan juga datang daripada ibu bapanya cuma dia bersama lima beradik lain sekadar membantu melancarkan proses agihan.

“Dana sepenuhnya adalah daripada ibu dan ayah. Malah, ayah sendiri yang keluar membeli barangan keperluan berkenaan. Antara barangan itu termasuklah beras, minyak masak, gula, tepung, susu pekat, sardin dan mi segera.

“Saya membuat hebahan mengenai agihan itu Twitter dan WhatsApp namun tidak sangka mendapat maklum balas yang luar biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Marissa, agihan pertama dilakukan selepas waktu Zuhur semalam dan semua barangan keperluan habis diagihkan dalam tempoh dua jam.

Berikutan sambutan di luar jangkaan, Marissa berkata, mereka sekeluarga membeli lagi bekalan barangan keperluan untuk membuat agihan pusingan kedua.

PENERIMA beratur sementara menunggu giliran untuk mengambil barangan keperluan. FOTO ihsan Marrisa Zahara Maslan
PENERIMA beratur sementara menunggu giliran untuk mengambil barangan keperluan. FOTO ihsan Marrisa Zahara Maslan

“Ramai yang datang ke rumah kami semalam untuk mengambil barangan keperluan, kebanyakan mereka dari sekitar Shah Alam.

“Namun, saya dan adik beradik terutama abang cuba mengawal keadaan di supaya tidak sesak, adanya penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Alhamdulillah, mereka (penerima) faham dengan tidak berkumpul sebaliknya menunggu di dalam kenderaan masing-masing sementara individu lain mengambil barangan.

“Agihan selesai kira-kira jam 4 petang dan lebih 100 individu menerima sumbangan itu termasuk asnaf, penuntut universiti, penghantar makanan dan pemandu teksi yang terjejas pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Marrisa mengakui ramai yang menghantar kiriman mesej kepadanya untuk turut serta menghulurkan sumbangan.

Bagaimanapun, Marissa berkata, dia terpaksa menolak dengan cara baik memandangkan belum membuka akaun khusus untuk mengumpul daripada orang awam buat masa ini.

“Memandangkan ramai yang mahu membantu, ayah merancang mewujudkan saluran khas untuk memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan. Buat masa ini, belum ada (akaun) tetapi agihan akan diteruskan pada Jumaat depan.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong usaha saya sekeluarga dan kami akan cuba memperbaiki kekurangan supaya proses agihan akan datang lebih sistematik,” katanya.