Kena jel 13 tahun

MOSCOW: Seorang wanita cantik dari wilayah Omsk, Russia didapati bersalah di mahkamah negara ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki.

Malah, dalam kejadian pertama, tertuduh melakukan serangan seksual dengan menyula lelaki itu menggunakan batang penyodok tanah.

Akibat daripada perbuatan terbabit, Elena Povelyaikina, 22, yang dikatakan peminat sukan gusti itu dihukum penjara 13 tahun.

Daily Mirror melaporkan dalam kejadian pertama, wanita itu membelasah seorang lelaki mabuk berusia 37 tahun yang enggan meninggalkan rumah keluarganya di kampung di Mikhailovka.

Jawatankuasa Penyiasatan Russia berkata, tertuduh pada awalnya dikatakan menyerang lelaki itu

Tertuduh kemudian mengambil batang penyodok tanah sebelum menyula lelaki berkenaan.

Susulan kejadian, mangsa meninggal dunia dan wanita itu membawa mayat lelaki itu ke pagar sebelum mencampaknya ke atas jalan raya.

Namun, polis tidak berjaya mengesan perbuatan suspek.

Dua bulan selepas itu, dia membunuh seorang lelaki tempatan, Evgeny Grebenkov, 31, ketika mereka minum bersama-sama.

Suspek dikatakan bertindak sedemikian selepas lelaki itu dikatakan menghina bapa wanita terbabit.

“Dia melompat sebelum membelasah lelaki berkenaan. Lelaki itu yang parah meninggal dunia keesokan harinya,” kata jawatankuasa berkenaan.

Dalam pada itu, media melaporkan bahawa meskipun bertubuh kecil, wanita itu sangat kuat dan gemarkan sukan gusti.

Bagaimanapun, ketika kes itu dibicarakan, wanita terbabit enggan memberi keterangan.

Media tempatan juga melaporkan sebelum hukuman dijatuhkan, Povelyaikina meminta maaf terhadap ahli keluarga mangsa.

Tetapi, dia tetap tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.