“Kenal Ogos lalu, kami tak bertunang pun’ – Noor Nabila

Kuala Lumpur: Noor Nabila Mohd Noor, 36, menafikan dia dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, mengikat tali pertunangan seperti didakwa sebelum ini.

Nabila yang melangsungkan pernikahan dengan Engku Emran pagi tadi berkata, dia mula mengenali ahli perniagaan itu pada Ogos tahun lalu.

“Kami tak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenalinya sekitar Ogos tahun lalu. Waktu itu kami hanya berkawan.

“Hanya sekitar hujung tahun lalu, kami mula rapat. Kami juga berkongsi minat sama termasuk dalam aktiviti berbasikal,” katanya yang juga kakak kepada selebriti popular, Neelofa.

Terdahulu, pasangan itu sah bergelar suami isteri dalam majlis pernikahan di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, jam 10.02 pagi.

Mereka berwalikan adik Nabila, Mohamed Aqief Mohd Noor.Noor dan Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

Bagaimanapun, tiada dulang hantaran diberi dan dibalas pasangan pengantin. Jumlah wang hantaran juga tidak dimaklumkan.

Nabila berkata, dia bersyukur majlis berjalan lancar dan serba ringkas kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Majlis kami hanya dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat sekitar 20 ke 30 orang saja. Kami buat yang wajib dan mahu diadakan secara sederhana. Apa yang penting kami mahukan keberkatan. Kami tidak merancang mengadakan majlis lain selepas ini,” katanya.

Nabila berkata, dia percaya Engku Emran mampu membimbing dan menjaga dirinya selepas masing-masing pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini.

“Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini. Jadi, masing-masing sudah matang dan sudah tahu apa yang diinginkan dalam membina mahligai ini. Insya-Allah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya.

Walaupun tidak pernah mengesahkan mengenai hubungannya dengan Engku Emran yang diperkatakan ramai sejak awal bulan ini, namun bayangan Nabila sedang menjalin hubungan cinta dengan ahli perniagaan itu cukup kuat.

Sejak awal bulan ini, gosip mereka hangat diperkatakan dalam laman sembang, malah mendapat liputan meluas media di Indonesia.

Nabila pernah berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, namun bercerai Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia tiga tahun.

Dalam pada itu, ini perkahwinan ketiga bagi Engku Emran selepas dua perkahwinan terdahulu bersama pelakon popular, Erra Fazira dan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan dengan Erra, mereka dikurniakan anak perempuan, Engku Aleesya, 12, manakala perkahwinan dengan Laudya tidak dikurniakan anak.

Engku Emran berpisah dengan Laudya, Julai tahun lalu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Berita berkaitan

  • Noor Nabila, Engku Emran sah suami isteri