Kenapalah kejam sangat…

“KALAU marah dan tidak berpuas hati sekalipun kenapa sampai bertindak kejam begitu, kami tak pernah bermusuh dengan dia (suspek) kalau terserempak pasti kami tegur dia,” luah Hawa Isa, 45, anak mangsa bunuh, Zaharah Khalid, 76.

Terdahulu, Zaharah dilaporkan hilang, semalam sebelum mayatnya ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam pada 2 pagi, hari ini.

Zaharah dilaporkan dipukul dan dipijak oleh suspek berusia 65 tahun hingga maut sebelum mayatnya dibuang dalam parit dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan, semalam.

Hawa yang juga anak ketujuh mangsa berkata, mereka sekeluarga sudah mengenali suspek sejak kecil, malah menyifatkan hubungan suspek dengan ibunya seperti kakak dan adik.

Menurutnya, suspek sering makan dan minum di kedai kopi ibunya di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan selain lelaki itu juga selalu memberi ikan hasil tangkapannya secara percuma kepada ibunya.

“Luluh hati saya apabila dimaklumkan emak diperlakukan sebegitu. Malah pelakunya sudah dikenali sejak kecil dan mak juga berkawan baik dengan arwah ibu suspek.

“Setahu saya kami adik-beradik tak pernah ada masalah dengan dia dan hubungan kami baik cuma sudah jarang berjumpa tetapi kalau terserempak kami selalu tegur dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Penchalang, Manjung, hari ini.

Bercerita lanjut, Hawa berkata, ibunya tinggal bersama adik lelaki bongsunya itu tidak dapat dikesan sejak tengah hari, semalam sebelum mereka mencarinya di merata tempat namun tidak ditemui.

Katanya, ada individu memaklumkan kepada adiknya yang suspek dilihat menampar ibunya petang semalam sebelum adiknya segera ke rumah lelaki itu bertanyakan ibu mereka.

“Tetapi masa itu dia beritahu tidak jumpa emak dan disebabkan masih tidak berpuas hati adik kembali mencari di kawasan rumah lelaki itu sebelum menemui motosikal emak dalam parit di belakang rumah.

RUMAH suspek yang menjadi lokasi mangsa dipukul dan dipijak hingga maut. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
RUMAH suspek yang menjadi lokasi mangsa dipukul dan dipijak hingga maut. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

“Sedih hati ini apabila dimaklumkan emak ditemui dalam parit berhampiran namun kami reda dengan kejadian ini dan menganggap ini dugaan pada Ramadan ini.

“Secara peribadi saya boleh maafkan dia, cuma saya mahu dia dikenakan hukuman setimpal dengan tindakan yang dilakukannya kerana ia terlalu kejam,” katanya sayu.

Hawa berkata, ibunya sempat mengunjungi rumah empat anaknya yang tinggal berhampiran termasuk dia dan bersembang bersama serta turut memberi wang hasil sawit kepada mereka, Sabtu lalu.

“Arwah mak sembang dengan saya lama, pelbagai cerita dia beritahu dan ketika itu saya renung muka mak lama sangat… rupanya itu kenangan terakhir mak untuk saya,” katanya.

Sementara itu, cucu sulung mangsa yang dikenali sebagai Ain, 30, berkata, dia terkejut dan sukar mempercayai suspek sanggup melakukan tindakan kejam itu kepada neneknya yang dipanggil emak kerana hubungan mereka sebelum ini baik.

Katanya, dia dimaklumkan suspek pernah menyerang bapa saudaranya yang tinggal bersama mangsa tanpa sebab sebelum Ramadan.

“Tapi abang cik (bapa saudara) tidak melawan sebelum dia (suspek) ambil pisau mahu cuba serang abang cik, nasib baik sempat elak. Saya tidak tahu kenapa dia sanggup buat begitu pada kami, apa yang saya tahu emak tak pernah bergaduh dengan dia.

“Emak sudah tua, batuk pun sakit inikan pula dipukul macam itu… tak dapat saya bayangkan, sampai hati pak cik buat begitu pada emak,” katanya yang turut berharap suspek dikenakan hukuman sewajarnya.

Katanya, ada penduduk kampung mendakwa kelakuan suspek berubah dan selalu pergi ke kubur ibunya siang dan malam sebelum kejadian berlaku.

Jenazah Zaharah dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Panjang pada petang ini.

Berita Berkaitan

  • Pijak warga emas sampai mati, mayat buang dalam parit