Kenderaan warga Thai ditinggalkan di Malaysia semasa PKP kini dibenar masuk ke Thailand

Kumpulan pertama melibatkan 29 buah kenderaan yang ditinggalkan pemilik di Kelantan telah dihantar pulang pada 10 Ogos lepas. – Gambar hiasan

NARATHIWAT: Kenderaan milik warga Thai yang ditinggalkan di Malaysia kerana pulang ke kampung halaman dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19, kini dibenarkan masuk ke negara mereka secara berperingkat.

Difahamkan lebih 200 kenderaan ditinggalkan pemilik warga Thai yang bekerja di Malaysia, khususnya di Kelantan apabila mereka tidak dibenarkan membawa balik kenderaan ke kampung halaman di selatan Thailand pada ketika itu.

Sejak 18 April, Thailand membenarkan warganya pulang ke tanah air namun mereka tidak dibenarkan membawa kenderaan masing-masing sebaliknya menaiki kenderaan yang disediakan pihak kedutaan Thailand.

Mereka terpaksa meninggalkan kenderaan kepada kenalan atau menyewa tempat letak kereta di Malaysia.

Kini, 111 pemilik kenderaan telah mendaftar dengan pejabat kedutaan Thailand di Kuala Lumpur dan pejabat Konsulat Thailand di Kelantan dan Pulau Pinang untuk membawa balik kenderaan masing-masing secara berperingkat.

Kumpulan pertama melibatkan 29 buah kenderaan yang ditinggalkan pemilik di Kelantan telah dihantar pulang pada 10 Ogos lepas.

Ketua Daerah Sungai Kolok, Rungruang Thimabut berkata pemilik kenderaan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia untuk mengambil kenderaan masing-masing sebaliknya akan dikendalikan pihak ketiga seperti syarikat menunda kenderaan ke sempadan Thailand-Malaysia.

"Pegawai kastam akan menerima kenderaan dan proses nyah kuman akan dilakukan di Sg Kolok sebelum diserah balik kepada pemilik," katanya.

— BERNAMA