Keputusan terus menetap di luar negara pilihan terbaik – Pelajar Malaysia di utara New York

Ini cerita seorang pelajar jurusan Perhubungan Awam di SUNY Plattsburgh, Ang Kai Bing yang memilih untuk terus kekal di utara New York, Amerika Syarikat. Foto: Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini kebanyakan pelajar Malaysia di luar negara memilih untuk pulang ke tanah air susulan kebimbangan penularan COVID-19, masih ada yang merasakan selamat untuk terus berada di luar negara dan meneruskan pembelajaran mereka seperti biasa.

Ini cerita seorang pelajar jurusan Perhubungan Awam di State University of New York (SUNY) Plattsburgh, Ang Kai Bing yang memilih untuk terus kekal di utara New York, Amerika Syarikat.

Bagi Kai, dia merasakan keputusan untuk menetap di asrama yang disediakan adalah lebih selamat berbanding untuk pulang ke tanah air.

"Ketika penularan pandemik ini bermula, kami pelajar Malaysia perlu memberikan butiran diri kepada kedutaan Malaysia di AS agar mereka dapat memantau perkembangan kami dari semasa ke semasa.

"Selepas berbincang bersama keluarga, saya membuat keputusan untuk teruskan pembelajaran saya di sini dan tidak pulang ke tanah air.

"Ini kerana tempat kelahiran saya di Seremban mencatatkan lebih banyak kes positif COVID-19 berbanding di Plattsburgh yang merekodkan kurang 70," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini.

Jelas Kai, sebagai langkah keselamatan pihak universiti menempatkan semula semua pelajar di sebuah asrama yang berbeza dan yang telah melalui proses sanitasi.

"Kami semua diasingkan di dalam bilik setiap seorang untuk memastikan terdapat penjarakan sosial dengan tandas persendirian.

"Sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa tetapi secara dalam talian, dan memandangkan ini adalah semester akhir saya, keputusan untuk kekal di sini buat masa ini adalah keputusan yang terbaik.

"Selain itu, pihak universiti turut mengedarkan topeng mulut dan hidung yang dijahit oleh pelajar Fakulti Teater kepada semua pelajar," katanya. 

Dalam pada itu, Kai turut menceritakan keadaan di bandar itu yang disifatkan keadaannya tidak sama seperti di bandar New York.

"Keadaan di sini masih terkawal dengan hanya 62 kes positif COVID-19 direkodkan setakat ini.

"Orang ramai juga mengambil langkah keselamatan ketika keluar rumah dengan pemakaian topeng mulut dan hidung serta penjarakan sosial.

"Setakat ini saya merasakan selamat untuk berada di sini sehingga keadaan kembali pulih untuk saya pulang ke tanah air," jelasnya.