Kerajaan India umum lanjutan ‘lockdown’ sehingga 3 Mei 2020

Menurut Perdana Menterinya, Narendra Modi, kelonggaran akan diberikan kepada sektor pertanian dan golongan yang mendapat upah harian. Foto: Reuters

NEW DELHI: Kerajaan India mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung (lockdown) sehingga 3 Mei depan susulan penularan COVID-19. 

Menurut Perdana Menterinya, Narendra Modi, kelonggaran akan diberikan kepada sektor pertanian dan golongan yang mendapat upah harian. 

Pada masa sama, kelonggaran itu juga hanya akan diberikan kepada kawasan yang tidak mempunyai kes positif COVID-19.

Beliau akui ekonomi negara itu terjejas teruk akibat tempoh lockdown itu namun kehidupan rakyat negara itu adalah lebih berharga.

“Selepas meneliti kesemua cadangan, kami mengambil keputusan Perintah Kawalan Pergerakan di India akan dilanjutkan sehingga 3 Mei 2020.

“Jika akan melihat perintah kawalan pergerakan ini dari segi ekonomi, ia menjejaskan aliran tunai. Kami perlu menanggungnya tetapi nyawa rakyat India lebih berharga,” ujarnya.

BACA: Langgar perintah berkurung, pelancong didenda tulis 'I Am Sorry' 500 kali

Fasa pertama perintah kawalan pergerakan di negara itu selama tiga minggu menyaksikan lebih 9,000 kes positif dengan 339 kematian setakat Selasa.

Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan, tiada kes positif baharu dilaporkan di 25 daerah sejak 14 hari lalu.

BACA: India pertimbang lanjut tempoh 'lockdown' lagi dua minggu