Kerajaan mohon maaf kepada Veveonah

Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini secara rasmi memohon maaf kepada penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin di atas kesulitan yang dihadapinya sejak tular isu liputan internet di kampungnya.

Ucapan maaf itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam kunjungannya ke UMS, hari ini.

“Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan,” katanya berkongsi perkara itu menerusi ciapan di akaun Twitter beliau, hari ini.

Semalam, Khairy memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju isu sebenar dihadapi Veveonah adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pedalaman.

Kabinet juga mengambil maklum bahawa kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin adalah tidak betul dan tidak wajar.

Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki.

Khairy, menjelaskan dalam pertemuan di UMS itu, beliau mencadangkan kepada Veveonah bekerjasama dengan Yayasan Inovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampungnya dalam pemeliharaan alam sekitar.

Sebelum ini, tular video yang menunjukkan penuntut jurusan Asasi Sains dari UMS itu, berada di atas pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik bagi menjawab soalan peperiksaan pada 12 Jun lalu.

Pada 3 September lalu, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan Veveonah dalam satu video yang dimuat naik di Youtube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

Zahidi kemudian mengakui terkhilaf semasa mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya terpaksa memanjat pokok bagi mendapat liputan internet bagi menjawab peperiksaan yang diadakan secara dalam talian.

Menurut Zahidi, beliau mengakui memperoleh maklumat daripada Abdul Rahim.

Pada 7 September lalu, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat mendakwa isu yang dicetuskan Veveonah video berkenaan adalah palsu, malah beliau menganggap penuntut terbabit hanya ‘membuat drama’ bagi meraih perhatian.

Kenyataan daripada dua timbalan menteri itu pantas menerima kecaman dan kritikan warga media sosial termasuk pemimpin pembangkang antaranya Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyifatkan tindakan kedua-dua timbalan menteri sebagai buli siber.