Kerajaan tak tergesa-gesa laksanakan PKPB [METROTV]

KERAJAAN menafikan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara tergesa-gesa sebaliknya ia dilakukan secara berperingkat dengan permulaan di zon hijau.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menafikan negara akan berdepan risiko sama seperti berlaku di Hokkaido, Jepun yang melonggarkan kawalan pergerakan sehingga menyebabkan wabak Covid-19 kembali mengganas.

Menurutnya, kerajaan bersedia dengan sebarang kemungkinan wujudnya gelombang baharu Covid-19 selepas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin ini.

“Salah satu daripada langkah yang diambil ialah menyekat kemasukan warga asing ke negara ini serta mewajibkan kuarantin penuh kepada rakyat kita yang pulang dari luar negara.

“Ini yang membezakan kita dengan Hokkaido. Mereka membenarkan kemasukan orang luar ke sana. Ramai yang datang daripada negara luar. Akhirnya berlaku kes import di negara Jepun.

ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama

“Berbeza dengan negara kita, kita masih menutup pintu masuk kepada warga asing, sampai hari ini kita tak benarkan. Lapangan terbang kita tidak menerima warga asing dan warga kita pun akan dikuarantin wajib. Ini untuk menyekat kes import seperti yang berlaku di Hokkaido,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, fokus kepada kawasan bersasar juga adalah langkah yang diambil kerajaan ketika ini dan bersedia dan mampu kerana pendekatan yang diambil juga berbeza.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata peperangan rakyat negara ini melawan Covid-19 masih belum berakhir dan menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga.

Ia perlu dituruti dengan disiplin diri serta penyesuaian kepada normal baharu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir sepenuhnya.

Katanya, orang ramai tidak harus meletakkan semua tanggungjawab berkenaan ke atas kerajaan semata-mata.

“Walaupun ada kebebasan boleh keluar, tidak bermakna kita dengan sewenang-wenangnya keluar, tetapi kalau kita ada keperluan, dulu pun kita buat macam itu, sekarang kenapa kita tidak boleh buat begitu,” katanya.