Kerja tetap kerja!

SEJAK zaman remaja, sehinggalah berkahwin dan kini bakal bergelar ibu, pelakon dan penyanyi Nur Fazura Sharifuddin sememangnya tidak pandai duduk diam.

Biarpun mengandung lapan bulan, Fazura tidak memilih untuk berehat di rumah semata-mata menanti hari kelahiran bayi sulungnya.

Sebaliknya, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini tetap lasak ke sana sini dengan pelbagai aktiviti berkaitan kariernya.

Tampil melancarkan produk penjagaan kulit miliknya, Fazura Skincare, Selasa lalu, Fazura mengakui dirinya seorang workaholic.

“Saya masih aktif kerana sejak dulu lagi memang suka bekerja. Ketika mengandung pun, saya tetap bekerja macam biasa.

“Kalau asyik duduk rumah saja, saya akan lagi penat dan stres. Kita nak hindari perasaan itu. Saya nak gembira sebab itu terus bekerja.

“Saya akan keluar berjalan tapi sudah tentu kalau penat akan balik rumah untuk berehat,” katanya.

Fazura berkata, doktor menjangkakan dia bersalin pada 21 Oktober depan.

“Tapi tak pastilah sama ada akan terawal atau terlewat. Saya seronok apabila mengandung dan bakal melahirkan anak tak lama lagi.

“Bagaimanapun, saya kena selesaikan kerja ini secepat mungkin kerana selepas bersalin akan menjalani rutin berpantang selama 44 hari.

“Dalam tempoh itu, saya kena jaga badan pula. Itulah sebabnya, saya kena selesaikan semua kerja sekarang. Saya pun tak mengalami kenaikan berat badan terlalu banyak,” katanya

Sesuatu yang ketara, pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 ini sering dicemburui kerana kecantikan kulitnya yang sentiasa tampil segar dan berseri.

Oleh itu, Fazura kini tampil membuka rahsia berkongsi petua kecantikannya dengan peminat menerusi produk dilancarkan.

“Saya hasilkannya atas permintaan peminat yang selama ini bertanya apa rahsia kecantikan saya.

“Proses penyelidikan dan kajian berkenaan produk ini dimulakan sejak awal tahun ini dengan saya sendiri menjadi testimoni.

“Saya akan cuba produk ini terlebih dahulu untuk melihat keberkesanannya dan barulah kita umumkan untuk pelancaran dan jualan,” katanya.

Paling istimewa, produknya terbukti selamat kerana dihasilkan daripada bahan organik dan sesuai digunakan wanita dan lelaki.

Menurutnya, set eksklusif saiz mini mengandungi pencuci wajah, skrub wajah, krim siang dan malam serta serum dijual pada harga sangat berpatutan

“Harganya ditetapkan ‘mampu beli’ kerana saya nak menghasilkan produk yang semua orang boleh miliki,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kerjaya nyanyian masih menyerlah

Dalam pada itu, kerjaya nyanyian Fazura juga tidak kurang mengukir gemilang apabila lagunya

Cant’ Forget Me

yang dirakam bersama penerbit Willy Beaman dan penyanyi serta penulis lirik, Cameron Forbes di Los Angeles.

Setakat ini, mengikut rekod maklumat diketahui, lagu berkenaan sudah dimainkan lebih tujuh juta kali di seluruh platform digital.

Malah, lagu dalam bahasa Inggeris itu juga berjaya mendominasi carta iTunes Malaysia beberapa jam selepas dilancarkan pada tahun lalu.

“Saya sangat berbesar hati dengan sokongan daripada peminat dan pihak Universal Music Malaysia. Terima kasih saya ucapkan.

“Apa-apa pun, lagu Cant’ Forget Me ini sentiasa menjadi lagu kegemaran saya dan menyuntik semangat yang membara untuk gigih bekerja.

“Diakui juga, lagu ini banyak memberi inspirasi kepada saya apabila berdepan hari-hari yang sukar. Ia berikutan mesejnya sangat positif

“Saya juga tak sabar menunggu peminat mendengar lagu baharu dalam bahasa Melayu berkonsep balada yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Fazura, dia sudah mengatur perancangan sebaik mungkin untuk kerjaya seninya sebelum berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada keluarga.