Kes Adib: PDRM cadang inkues baharu

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia berikutan terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba itu.

“Sehingga kini seramai 54 saksi baharu dirakamkan percakapan melibatkan saksi polis, saksi awam dan saksi pakar yang membawa kepada 115 orang telah dirakam percakapan sepanjang siasatan kes ini berlangsung.

“Saya mahu berlaku adil kerana tiada apa yang nak disembunyikan, apa pun siasatan penuh telah dibuat namun kami tidak temui bukti kukuh menyatakan bahawa ada seseorang yang nampak arwah ditangkap, dipukul dan sebagainya,” katanya kepada Bernama pada majlis serah terima tugas Pengarah JSJK yang baharu di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, berikutan dakwaan serta pandangan beberapa individu bahawa Muhammad Adib diperlakukan sedemikian (ditangkap, dipukul dan sebagainya) pihaknya sekali lagi mencadangkan supaya inkues berkenaan dilakukan.

“Saya mohon kononnya pihak yang dakwa dia (Adib) dipukul dan sebagainya untuk tampil ke depan. Jika betul ada bukti apa nak takut, inkues tidak akan membuatkan individu yang dirakam percakapan dimasukkan ke dalam penjara.

“Polis tahu bagaimana cara hendak mengambil keterangan namun apabila mereka ini diletakkan menjalani ujian siasatan mendapati terdapat unsur pembohongan jadi kami sarankan inkues dilakukan lagi secara menyeluruh,” katanya.

Beliau mengingatkan mana-mana individu supaya berhati-hati mengeluarkan tuduhan yang mendakwa polis tidak melakukan kerja sebaik mungkin dalam menyelesaikan kes ini.

Abdul Hamid dalam pada itu berkata PDRM masih menunggu arahan lanjut berhubung kes itu setelah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.