Kes bunuh pensyarah: Suami dipercayai curang

SUAMI disyaki membunuh isterinya didapati curang, menyebabkan wanita itu tetap memfailkan pengesahan penceraian sebelum mayatnya ditemui di dalam kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, di Sepang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek berusia 41 tahun itu didapati menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku masalah dalam rumah tangga mereka sehinggalah berlaku kejadian pembunuhan itu.

“Setakat ini suspek masih direman dan soal siasat sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, ketika ini, khidmat Pasukan Polis Marin (PPM) digunakan bagi membantu mencari telefon bimbit yang dibuang suspek di dalam tasik di Taman Putra Perdana, Dengkil.

Harian Metro sebelum ini melaporkan suspek yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian menyebabkannya tergamak membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu.

Suspek turut berpura-pura mencari isterinya, 40, yang juga seorang pensyarah bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.04 pagi.

Suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di Taman Mas, Putra Perdana, di Sepang.

Berita berkaitan:

  • Cari isteri hanya lakonan suami
  • Anak mangsa luah rindu
  • Bunuh isteri guna tudung