Kes naik sekali ganda!

Putrajaya: Musim hujan yang melanda kebelakangan ini turut menyebabkan anggota penyelamat ‘sibuk’ mengendalikan kes kecemasan membabitkan haiwan yang meningkat sekali ganda.

Berbanding kes ular yang acapkali dikendalikan sebelum ini, kemahiran anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditagih untuk menyelamatkan nyawa kucing dan kuda peliharaan.

Kebiasaannya haiwan didapati terjatuh ke dalam longkang, tersepit di dalam kenderaan, terperangkap di dalam lubang paip dan pelbagai situasi yang tidak dijangka.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Kapten Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, dalam kejadian terbaru kelmarin sepasukan anggota APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Lumpur menerima aduan berhubung kejadian seekor kuda seberat 500 kilogram terjatuh gaung di Bukit Kiara di sini.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11 pagi itu, dua pegawai dan 12 anggota APM bergegas ke lokasi sebelum mendapati seekor kuda terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter.

“Anggota APM menggunakan segala kudrat dan kemahiran untuk menaikkan kuda itu menggunakan tali serta peralatan lain. Kuda itu akhirnya berjaya diselamatkan dua jam kemudian,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan jam 4 petang kelmarin, anggota APM turut dipanggil bagi membantu kes seekor kucing tersangkut pada jeriji pintu sebuah kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul di sini.

Difahamkan, kucing itu terperangkap antara lubang pintu rumah dan jeriji besi kediaman tanpa penghuni.

“Kucing itu akhirnya berjaya dikeluarkan selepas anggota APM berusaha memasukkan tangan melalui lubang jeriji besi itu sebelum menarik keluar kucing itu,” katanya.

Beliau berkata, APM turut menerima panggilan kecemasan bagi menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di dalam longkang bertutup di Jalan Bukit Candan, Jalan Ipoh di sini, pada hari sama.

“Salah seorang anggota wanita APM terpaksa merangkak ke dalam lubang longkang itu sebelum berjaya mengeluarkan anak kucing berkenaan yang hampir mati lemas,” katanya.

Shahrul berkata, APM Kuala Lumpur turut menerima panggilan kecemasan berhubung kes seekor kucing tersangkut di dalam lubang paip di sebuah rumah di Jalan Rahmat di sini, semalam.

“Anggota APM terpaksa menggunakan peralatan mesin pencanai untuk memotong paip berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kucing di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, APM turut menerima panggilan kecemasan seekor kucing yang terperangkap kepalanya pada penutup longkang di tapak pasar malam, Gua Musang, Kelantan.

“Kucing hitam itu yang gagal menarik keluar kepalanya berjaya diselamatkan anggota APM yang dipanggil orang awam sejurus menyedari kejadian berkenaan,” katanya.