Kes penyakit Kawasaki mungkin meningkat akibat COVID-19 – Pakar perubatan

Di AS, puluhan kanak-kanak kini mengalami penyakit Kawasaki yang menunjukkan simptom demam, ruam, dan sakit perut. – Twitter

NEW YORK: Pakar perubatan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberi amaran pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan peningkatan kes penyakit Kawasaki dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Rawatan Intensif Pediatrik Hospital New York Morgan Stanley, Dr Steven Kernie berkata di AS, puluhan kanak-kanak kini mengalami penyakit itu yang menunjukkan simptom demam, ruam, dan sakit perut.

“Lazimnya kami menyaksikan kanak-kanak dengan demam dan suhu tinggi yang dialami selama tiga atau empat hari… selalunya dengan ruam yang tersebar luas.

“Ia mungkin di seluruh badan. Ia boleh berlaku di tapak tangan dan kaki,” jelasnya.

Pihak berkuasa di New York pada Rabu mengumumkan 64 kanak-kanak disyaki mengalami simptom penyakit Kawasaki, satu penyakit yang jarang berlaku.

Beberapa lagi kanak-kanak lain di AS juga dikenal pasti mengalami sindrom itu, termasuk seorang bayi enam bulan di California yang turut disahkan positif COVID-19.

Walaupun ia masih tidak dibuktikan, pakar perubatan kini sedang mengkaji sama ada sindrom itu merupakan komplikasi yang berlaku akibat COVID-19.

“Kami menyaksikan dalam kalangan beberapa kanak-kanak, walaupun masih jarang berlaku dan melibatkan jumlah yang kecil, serta dengan konteks ketika ini, mereka menunjukkan respons keradangan,” kata Pengarah Bersama Pusat Kajian Penyakit Kawasaki, UC San Diego, Dr Adriana Tremoulet.

Di United Kingdom, Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock pada Selasa memaklumkan bahawa beberapa kanak-kanak di negara itu telah meninggal dunia akibat penyakit Kawasaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan COVID-19.

Doktor di Itali turut menyaksikan peningkatan kes sindrom Kawasaki dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya di bahagian utara yang merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat COVID-19.

Namun, ia masih dipercayai bahawa kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 kebanyakannya hanya mengalami simptom ringan.

“Saya berpandangan bahawa ibu bapa tidak sepatutnya risau tentang sindrom ini lebih daripada perkara lain.

"Maksudnya, sekiranya anak-anak mereka terdedah kepada kes positif COVID-19, kanak-kanak itu mungkin hanya mengalami simptom ringan.

“Hanya peratusan kecil sahaja yang mungkin terdedah kepada sindrom ini, kata Dr Steven.