Kes positif COVID-19 cecah 21 juta di seluruh dunia

AS kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 25 peratus daripada keseluruhan kes dikesan di negara itu. -Gambar fail

SEBANYAK 400,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia menjadikan kes kumulatif global kini mencecah 21 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 25 peratus daripada keseluruhan kes dikesan di negara itu.

Ini diikuti Brazil dengan 3.2 juta kes (15 peratus) manakala India 2.46 juta kes (11 peratus).

Angka jangkitan COVID-19 di Rusia dan Afrika Selatan melepasi setengah juta dengan masing-masing merekodkan 910,778 kes dan 579,140 kes.

Tujuh buah negara iaitu Mexico, Peru, Colombia, Chile, Sepanyol, Iran dan United Kingdom pula melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.

Sementara lapan lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 kes adalah termasuk Arab Saudi, Pakistan, Bangladesh, Argentina, Itali, Turki, Perancis dan Jerman.

Dalam pada itu, negara yang melepasi angka 100,000 jangkitan pula ialah Filipina, Indonesia, Kanada, Qatar dan Kazakhstan.

Lain-lain negara setakat ini masih merekodkan angka di bawah 96,000 kes positif.