Kes positif COVID-19 cecah angka 1,000 di Singapura, 245 pesakit pulih

Singapura juga telah mengenal pasti dua lagi kluster baharu.

SINGAPURA: Singapura hari ini mencatat kes positif ke-1,000 bagi COVID-19, menyaksikan tambahan 74 kes baharu dengan 20 daripadanya adalah kes import manakala 54 lagi kes tempatan.

Kes tempatan turut membabitkan seorang wanita rakyat Malaysia berusia 34 tahun yang merupakan pemegag Pas Kerja Singapura dan ketika ini didapati tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kes terdahulu.

Dia kini dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH), menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu di sini.

MOH berkata 20 kes terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Australia, Eropah, Amerika Selatan, Afrika, ASEAN dan beberapa bahagian lain di Asia.

Singapura juga telah mengenal pasti dua lagi kluster baharu iaitu Rumah Orang-Orang Tua Lee Ah Mooi di Thomson Lane dan sebuah asrama pekerja yang terletak di 55 Sungei Kadut Loop.

Selain kluster baharu, ia melaporkan tiga lagi kes daripada sektor penjagaan kesihatan awam yang membabitkan seorang koordinator penyelidikan klinikal dan seorang jururawat di SGH serta seorang doktor di Hospital Besar Ng Teng Fong.

Mengulas perkembangan terkini kes yang pulih, MOH berkata lima lagi pesakit dijangkiti COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 245 orang.

Daripada 457 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala 24 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 14,050 kontak rapat yang telah dikuarantin.

— BERNAMA