Kes positif COVID-19 kini cecah 3.17 juta seluruh dunia

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, tujuh negara dilaporkan kini mempunyai kes positif melebihi 100,000 dengan Sepanyol kekal negara kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

KES positif COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan jumlah kumulatif melepasi 3.17 juta orang setakat ini.

Data Johns Hopkins University menunjukkan, kes positif di Amerika Syarikat tiada tanda-tanda akan reda apabila jumlah kumulatif kini merekodkan 1.03 juta kes.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, tujuh negara dilaporkan kini mempunyai kes positif melebihi 100,000 dengan Sepanyol kekal negara kedua tertinggi (232,000 kes).

Ketika Itali mengumumkan bakal menarik balik sekatan pergerakan secara beransur-ansur, ia kini menjadi negara ketiga di dunia yang mempunyai kes positif COVID-19 melepasi 200,000.

Pertambahan lebih 2,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif di Itali meningkat kepada 203,000.

Perancis merupakan negara keempat dengan kes positif yang tinggi, iaitu melebihi 169,000 kes.

Sementara itu, United Kingdom mempunyai jumlah kumulatif 166,000 kes, manakala Jerman dan Turki masing-masing merekodkan 160,000 dan 117,000 kes.

Pada masa sama, jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 959,000 di seluruh dunia.