Ketua pembangkang Rusia masih tidak sedarkan diri setelah didakwa diracun

Alexei Navalny dilaporkan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah didakwa diracun ketika dalam penerbangannya dari Siberia ke Moscow pada Khamis. -Facebook / Alexei Navalny

MOSCOW: KETUA Pembangkang Rusia, Alexei Navalny dilaporkan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah didakwa diracun ketika dalam penerbangannya dari Siberia ke Moscow pada Khamis.

Menurut jurucakap Kira Yarmysh, Navalny dipercayai diracun melalui bahan yang dicampur ke dalam minumannya sebelum beliau mula tidak sedarkan diri menyebabkan pesawat yang dinaikinya melakukan pendaratan cemas.

Sementara itu, jurucakap Presiden Rusia, Dmitry Peskov berkata pihaknya sedang menantikan hasil ujian makmal sama ada benar Navalny dibubuhi racun atau sebaliknya.

BACA: Ketua Pembangkang Rusia koma akibat diracun

Bagaimanapun pihaknya sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan terhadap keluarga Navalny sekiranya mereka memerlukannya daripada pihak kementerian.

Pemimpin yang berusia 44 tahun itu terkenal dengan kelantangannya menyuarakan isu rasuah selain turut mengkritik secara terang-terangan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Pada 2017, Navalny turut diserang apabila matanya dicurah cecair pembasmi kuman oleh penyerang sehingga menyebabkan kecederaan.