Khairul Hafiz fokus pemulihan

Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan tidak dapat menyertai Kejohanan Simulasi Olahraga bermula hari ini bagi memberi peluang kepadanya meneruskan sesi pemulihan.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, Khairul Hafiz sebelum ini sudah berehat lebih sebulan kerana mengalami kecederaan lutut namun ia tidak terlalu serius.

“Kami tidak mahu ambil risiko yang mungkin akan menambahkan kecederaannya lagi. Kecederaan itu tidak serius tapi lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga dahulu. Kami juga tak mahu paksa dirinya untuk mempamerkan prestasi terbaik ketika ini,” katanya.

Ketiadaan Khairul Hafiz menyaksikan acara pecut 100 meter bakal menjadi pentas persaingan antara pemenang pingat emas Sukan Sea 2019, Haiqal Hanafi serta Jonathan Nyepa.

Mengulas lanjut, Manshahar berharap kejohanan selama dua hari itu menjadi platform terbaik kepada atlet negara mempamerkan kemampuan masing-masing selepas sekian lama berehat. ”Saya tak mengharapkan sesuatu yang besar. Apa sahaja mereka boleh lakukan, maka buatlah yang terbaik.

“Ia juga memberi peluang kepada jurulatih untuk membuat penilaian ke atas atlet masing-masing. Semua ini sebagai persediaan menghadapi kejohanan pada tahun depan,” katanya.

Kejohanan itu menggantikan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang sebelum ini dibatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.