Khatam al-Quran 25 kali sepanjang PKP [METROTV]

SERAMAI 60 penghuni Penjara Marang menyertai program Khatam al-Quran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga sekarang.

Program itu dijalankan sebagai usaha dan harapan supaya wabak Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia itu reda, sekali gus keadaan kembali pulih seperti biasa.

Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, sehingga kini penghuni sudah khatamkan al-Quran sebanyak 25 kali sepanjang tempoh PKP.

“Program itu dijalankan secara berterusan bermula pada 10 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap hari.

“Setiap hari, 60 penghuni termasuk lima daripadanya yang sedang mengikuti kelas tahfiz akan khatam 30 juzuk al-Quran.

“Selain khatam al-Quran, mereka mengerjakan solat hajat berjemaah dan amalan bacaan surah Yasin setiap lepas solat Maghrib di bilik domiteri masing-masing,” katanya program Tadarus dan Khatam al-Quran di Surau Penjara Marang.

Wan Sani berkata, pihaknya tidak memaksa penghuni untuk menjayakan program dianjurkan sempena Covid-19 itu, tetapi disertai secara sukarela penghuni yang berkebolehan.

“Harapan kami supaya dengan sedikit usaha dijalankan warga Penjara Marang ini membantu meredakan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia itu.

“Sebagai tanda penghargaan kepada semua penghuni yang menyertai program itu, Penjara Marang memberi saguhati berupa barangan keperluan termasuk makanan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu peserta, Madi, 45, (bukan nama sebenar) berkata, dia bimbang keselamatan keluarganya dan sentiasa mendoakan keluarganya dilindungi daripada Covid-19 itu.

“Kami bukan sahaja berdoa, khatam al- Quran, solat hajat dan membaca Yasin tetapi turut mengamalkan bacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat.

“Harapan kami supaya wabak Covid-19 itu cepat reda dan keluarga boleh datang melawat kami di penjara seperti biasa,” katanya yang ditahan di bawah kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, dia bekas banduan akhir tetapi mendapat pengampunan Sultan pada 2012 sebelum dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun.

Katanya, kini dia tinggal enam tahun lagi sebelum dibebaskan dan berasa tidak sabar untuk hidup bersama keluarga semula.

PENGHUNI penjara menyertai program Tadarus serta Khatam al-Quran sepanjang tempoh PKP di Surau Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
PENGHUNI penjara menyertai program Tadarus serta Khatam al-Quran sepanjang tempoh PKP di Surau Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan