Kim Jong Un dilihat di khalayak selepas 20 hari

Jong Un dilaporkan menghadiri satu majlis perasmian pembukaan sebuah kilang baja di Suncheon pada Jumaat, 1 Mei, 2020. – REUTERS

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un, membuat penampilan pertama dalam 20 hari di khalayak ramai selepas dikatakan berada dalam keadaan kritikal susulan dilaporkan menjalani pembedahan sebelum ini.

Jong Un dilaporkan merasmikan pembukaan sebuah kilang baja di Suncheon, berhampiran Pyongyang, pada Jumaat, bersama beberapa pegawai kanan, termasuk adik perempuannya, Kim Yo Jong.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Jong Un memotong riben ketika menghadiri upacara itu sambil disambut sorakan gembira oleh para hadirin.

Beliau dilihat melontarkan senyuman serta bercakap dengan beberapa orang pegawai pada majlis tersebut dan turut melawat sekitar kawasan kilang.

Bagaimanapun, menurut agensi berita asing, keaslian gambar yang disiarkan menerusi laman web akhbar rasmi Rodong Sinmun itu, tidak dapat disahkan. 

BACA: Desas-desus adik bakal ganti Kim Jong-un, AS kumpul maklumat mengenai Kim Yo Jong

BACA: Kim Jong-un ada masalah kesihatan – Pakar 

Kali terakhir Jong Un dilihat di khalayak ialah pada 11 April apabila beliau menghadiri satu mesyuarat parti pemerintah Workers' Party of Korea.

Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump turut menafikan laporan berhubung keadaan kritikal Jong Un. Saya rasa laporan itu tidak benar, katanya.

Diminta mengulas laporan KCNA tersebut, Trump berkata: "Saya belum mahu beri sebarang komen."

BACA: 'Kim Jong Un masih hidup dan sihat' – Korea Selatan nafi laporan media AS

BACA: Trump doakan kesihatan Kim Jong-un

Khabar angin mengenai kesihatan Jong Un mula bertiup kencang apabila beliau dilaporkan tidak hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Kim Il Sung, pada 15 April.

Majlis Il Sung disambut meriah setiap tahun bagi memperingati pengasas negara itu.

Agensi berita Amerika Syarikat (AS), CNN sebelum ini turut mendakwa Jong Un berada dalam keadaan kritikal susulan menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, portal berita berpangkalan di Seoul, Korea Selatan, awal minggu ini melaporkan, Jong Un sedang melalui proses pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan kardiovaskular pada 12 April.