Kirim gambar disusuli perkataan ‘bye’ sebelum kemalangan

Tanah Merah: “Habis satu badan saya berasa kaku sebaik mendengar anak kemalangan, baru sahaja pagi tadi kami bersalaman selepas dia minta izin untuk kembali bekerja,” kata Rohaimi Ismail, 59.

Rohaimi, ibu kepada anggota polis Lans Koperal Ahmad Firdaus Ismail, 24, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 63.9 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, di Kampung Air Jada, Gerik, jam 1 petang tadi.

Katanya, dia menerima berita mengenai kemalangan itu daripada jiran dan pada awalnya tidak percaya memandangkan baru ‘melepaskan’ anaknya pergi bertugas selepas cuti sakit selama empat bulan akibat kecederaan di lutut.

“Saya tak sangka cuti panjang ini rupanya tempoh terakhir kami meluangkan masa bersama-sama malah, sepanjang di rumah dia sangat manja dan sering meluahkan perasaan kepada saya.

“Sebelum dia bertolak jam 10 pagi tadi, saya dan suami sempat berpesan supaya memandu dengan berhati-hati dan menelefon kami sebaik sampai. Dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya tersenyum seperti biasa.

“Saya dapat tahu lokasi kemalangan adalah berdekatan dengan tempat dia pernah kemalangan sebelum ini yang menyebabkan dia mengalami patah tangan selain kecederaan teruk di lutut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh, Bukit Panau, hari ini.

Mangsa yang bertugas di Balai Polis Hutan Melintang, Hilir Perak, dilaporkan memandu kereta jenis Toyota Vios bertembung dengan lori dan meninggal di lokasi kejadian.

Rohaimi berkata, mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu sempat menghantar gambar dalam kumpulan WhatsApp keluarga disusuli dengan perkataan ‘bye’ menjadi pesanan terakhir mangsa.

“Saya sekeluarga reda dengan pemergianya, walaupun terkesan kerana arwah seorang anak yang baik dan bertanggungjawab pada ibu bapa serta adik beradik.

“Lebih menyedihkan, dia tidak sempat melangsungkan perkahwinan yang ditetapkan pada 13 Februari tahun hadapan. Hampir 70 peratus persiapan sudah dilakukan.

“Bagaimanapun, ajal menjemputnya dulu, saya reda. Insya-Allah, apabila segala urusan membawa balik selesai, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Domis,” katanya.