Kisah pilu pusara 77 tahun

KUBUR wanita sarat mengandung dibunuh kejam komunis kira-kira 77 tahun lalu yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang, terpahat kenangan pahit.

Ia bukan sahaja masih dirasai ahli keluarga wanita itu, tetapi juga jemaah masjid terbabit setiap kali menunaikan solat lima waktu.

Imam Muda masjid itu, Mohd Saifuldin Mohamad berkata, berdasarkan maklumat, kubur itu milik Nik Mah Nik Soh, yang dibunuh kejam komunis pada 4 Januari 1943.

Menurutnya, ketika itu berlaku serangan hendap ke atas wanita terbabit yang berselindung dalam pembentung jalan masuk ke Kampung Melayu berhampiran masjid terbabit.

Katanya, walaupun dia baru bertugas di masjid itu kira-kira belasan tahun lalu namun turut merasai kekejaman tindakan komunis yang tidak berperikemanusiaan itu.

“Serangan komunis itu berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943 apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan paling ngeri nasib menimpa wanita berkenaan.

“Selepas kematiannya, jenazah wanita terbabit terpaksa dikebumikan secara sembunyi berhampiran kolah di belakang masjid,” katanya.

Menurut Mohd Saifuldin, ketika jenazah wanita itu dikebumikan, masjid terbabit masih belum dinaik taraf dan kubur berkenaan berada di tengah-tengah apabila ia diperbesarkan.

Katanya, kubur itu juga terpaksa ditutup dengan pembinaan tingkat tempat letak kitab dan al-Quran bagi mengelakkan gangguan kepada jemaah masjid.

“Kubur itu masih menjadi tanda tanya kepada kebanyakan jemaah dari luar Kelantan yang singgah bersolat di situ, namun kekal menjadi bahan tinggalan sejarah zaman komunis,” katanya.

Sementara itu, anak saudara wanita terbabit, Zahari Abdul Rahmah, 59, berkata keluarganya terkenang kekejaman komunis dalam melakukan serangan ke atas orang Melayu pada zaman berkenaan.

Katanya, kubur berkenaan adalah salah satu bukti kekejaman komunis yang membunuh hidup ibu saudaranya yang ketika itu sarat mengandung anak pertama.

“Ia sebagai peringatan kepada generasi baharu supaya menjaga kemerdekaan negara yang kita nikmati sekarang,” katanya.