Kita akan pastikan peraturan ditegakkan – Datuk Bandar Shah Alam

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan peniaga khususnya di Bandar Baru Sungai Buloh supaya mematuhi arahan dikeluarkan sehingga isu berniaga tanpa lesen diselesaikan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya sedang mengenal pasti tapak sesuai untuk mereka berniaga.

Katanya, sebelum ini sudah ada tapak yang disediakan, namun ada peniaga yang enggan berpindah ke lokasi berkenaan.

“Saya mengikuti isu ini secara dekat dan perlu mendapatkan laporan terperinci daripada pegawai penguat kuasa MBSA.

“Kita juga ucapkan terima kasih kepada Mohd Asri (Mohd Asri Hamid) atas aduan dibuat. Tindakan akan diambil seperti mana rutin yang dijalankan sebelum ini.

“Saya juga berharap isu ini tidak berpanjangan kerana kita ada banyak lagi kerja untuk diselesaikan. Kita hadapi kesukaran, tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk terus memastikan peraturan ditegakkan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kontroversi membabitkan pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut yang turut mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.

Dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang turun melawat lokasi berkenaan semalam.

Haris berkata, tindakan menyita barangan perniagaan peniaga burger di situ dilakukan selepas teguran dan nasihat tidak diendahkan sebelum ini.

“Ia mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (Meninggalkan Barang Perniagaan Di Tempat Awam) & Peruntukkan 3 (Menjaja Tanpa Lesen) serta Peruntukkan 42 (Kuasa Sitaan).

“Mereka yang barangan disita, boleh berhubung dengan pegawai MBSA dan selepas menjelaskan kompaun, barangan terbabit boleh diambil semula,” katanya.

Katanya, beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk tampil membantu MBSA bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan seperti sepatutnya dan tiada pelanggaran undang-undang.

“Kita juga minta supaya orang ramai khususnya netizen supaya tidak membuat tuduhan melulu kepada penguat kuasa yang menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada dan bukannya suka-suka.

“Sudah tentu akan ada tindakan kepada pegawai penguat kuasa MBSA jika mereka didapati menyalahgunakan kuasa ketika bekerja.

“MBSA juga bersedia membantu pihak polis menjalankan siasatan atas dakwaan ada aktiviti perjudian membabitkan premis,” katanya.

Berita berkaitan

• Bukit Aman sahkan terima maklumat pegawai, anggota lindungi premis judi

• Siasatan bukan untuk hukum Mohd Asri – Hamzah

• Cemburu bila kami kena tindakan, orang lain tidak – Asri Janggut

• Asri Janggut dakwa ‘ayahanda’ tak puas hati

• Buat video dedah kegiatan haram dan serah pada KDN – Hamzah Zainuddin

• Saya dengar sendiri penjelasan beliau – KPN

• Asri Janggut dah jumpa KPN

• Saya serah 100 peratus kepada Allah – Asri Janggut

• Pendedahan Asri Janggut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat

• SPRM cari penguat kuasa lindung perniagaan haram di Sungai Buloh

• ‘Hak polis untuk nafi tapi saya penduduk asal di situ’ – peniaga burger [METROTV]

• ‘Bagus, ada orang berani, ikhlas…’ – KPN

• Polis buat laporan polis terhadap peniaga burger tular

• Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA