‘Kita belum menang tapi nampak tanda kejayaan’ [METROTV]

“KITA masih belum menang (memerangi Covid-19) tetapi apa yang penting adalah tindakan kita (Perintah Kawalan Pergerakan) menampakkan tanda-tanda kejayaan menurunkan kes,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia ketika ini adalah 2,462 kes berdasarkan kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian.

“Mengikut trajektori unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 14 April lalu selepas tamat fasa kedua PKP, unjuran kes positif dan dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk terus membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurang satu meter dan kerap mencuci tangan.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, terdapat 224 anggota kesihatan dikesan positif Covid-19.

“Daripada jumlah itu, 150 kes atau 67 peratus berpunca daripada komuniti.

“Sebanyak 41 kes mempunyai kaitan dengan pesakit iaitu 29 kes daripada pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), pesakit tidak diketahui status sebelum rawatan diberikan (9) dan aktiviti saringan di lapangan (3). Manakala 33 kes masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada anggota kesihatan yang dijangkiti ketika pengendalian kes positif di wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU) khusus untuk pesakit Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan