‘Kita belum menang, tapi tak kalah’ [METROTV]

“WALAUPUN kita belum menang peperangan ini, kita tidak kalah lagi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya tidak melihat ada peningkatan mendadak dalam kes positif Covid-19 di negara ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri dengan beberapa pilihan berhubung pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April ini.

“KKM memantau rapat setiap hari peningkatan kes positif dan penyebaran di daerah.

“KKM bersandar kepada fakta dan sains, jadi bukan bergantung kepada pendapat saya, tapi kita tengah merangka modul baharu dalam menjangkakan wabak ini.

“Laporan sudah kita lihat, tapi kita perlu sehari dua untuk analisis semua data. KKM akan keluarkan cadangan kepada Jemaah Kabinet dan ada beberapa pilihan yang ada dan keputusan bergantung kepada Kabinet dan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

WARTAWAN bertanya soalan kepada Dr Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
WARTAWAN bertanya soalan kepada Dr Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kluang, Johor, akan dilanjutkan, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya gembira dengan perkembangan terkini di situ.

Katanya, sebanyak empat kes positif baharu dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 134 kes direkodkan di kawasan itu.

“Bandar Baru Ibrahim Majid ada sebanyak 137 kes dengan pertambahan empat kes.

“Pecahan ikut mukim, di Ulu Benut sebanyak 151, Kluang (14), Machap (empat), dan satu kes di Nyior.

“Kita lihat daripada segi pelaksanaan PKPD di Kluang adalah menggalakkan dan mencapai matlamat. Kita dapat hasil yang positif dalam melaksanakan PKPD di Kluang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19